AS Monaco menafikan laporan bahawa mereka melanggar peraturan mengenai pengambilan pemain muda.

Mediapart mendakwa kelab Ligue 1 yang sedang bergelut itu melanggar peraturan apabila mendapatkan khidmat dua pemain bawah umur 18 tahun -- yang belum dinamakan -- selepas analisis data yang dikeluarkan oleh Football Leaks.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Persekutuan Bolasepak Perancis (FFF) dan Liga Profesional Negara (LFP) semalam, menjelaskan bahawa perkara itu telah disampaikan kepada badan Status Pemain Elit dan jawatankuasa pengadilan masing-masing bagi menyiasat perkembangan tersebut.

Menurut kenyataan itu: "Kedua-dua jawatankuasa ini akan bertanggungjawab untuk menyiasat dalam menentukan kemungkinan sebarang pelanggaran disiplin atau jenayah dalam fail-fail ini."

Monaco telah bertindak balas terhadap tuduhan tersebut menerusi kenyataan di laman sesawang mereka yang berbunyi: "Monaco menafikan maklumat yang diterbitkan dalam artikel Mediapart, semalam.

"Kelab ini menegaskan bahawa kami menghormati bukan sahaja undang-undang, malah termasuk peraturan yang ditetapkan pihak bertanggungjawab sukan kebangsaan dan antarabangsa dalam rangka pengambilan pemain remaja.

"Kami akan mengaturkan pertemuan dengan FFF dan LFP dalam usaha menerangkan kaedah pengambilan pemain kami."

Monaco telah menempuhi permulaan yang huru-hara musim ini apabila menghuni tangga ke-19 Ligue 1 selepas hanya melakar satu kemenangan.