MONACO 1 PSG 4

Thomas Tuchel mengakui kemungkinan akan berlakunya proses perpindahan bulan ini sambil berharap Edinson Cavani akan terus kekal sementara Kylian Mbappe menegaskan masih ada banyak lagi aksi hebat yang boleh ditawarkan empat penggempur Paris Saint-Germain (PSG) itu.

Cavani terlepas kemenangan 4-1 ke atas Monaco awal pagi tadi akibat kecederaan, namun aksi pemain berusia 32 tahun itu terhad kepada sembilan penampilan Ligue 1 sahaja musim ini dengan mencetak dua gol.

Ketiadaannya tidak memberi kesan apabila Mbappe menyumbat dua gol sambil Neymar juga mencetak nama selaku penjaring apabila menyempurnakan sepakan penalti disusuli jaringan pemain gantian, Pablo Sarabia, dalam aksi di Stade Louis II itu.

Empat pilihan utama di bahagian serangan yang diketuai Neymar, Mbappe, Mauro Icardi dan Angel Di Maria itu sedang dalam prestasi hebat, lantaran itu Cavani -- selaku penjaring terbanyak dalam sejarah kelab berkenaan -- dilaporkan mahu meninggalkan Parc des Princes bulan ini.

Bagaimanapun, pengurus dari Jerman itu menuntut Cavani supaya kekal kerana dia merupakan sebahagian daripada skuadnya biarpun mengakui sebarang keputusan terletak di tangan pemain itu sendiri.

"Adakah akan berlakunya perpindahan serta adanya ketibaan muka baru, ia boleh berlaku dalam bola sepak. Saya tidak dapat mengulasnya," katanya kepada Canal +.

"Cavani? Kita perlu ajukan soalan itu kepada Edi. Dia sedang cedera, dia berasakan sesuatu dalam latihan dan dia tidak dapat diturunkan.

"Adakah saya mahu dia kekal? Ia langkah yang lebih baik demi mencapai misi kami. Untuk memilikinya, ya."

Kesan yang dijelmakan penyerang Uruguay tersebut mungkin terhad musim ini, namun Mbappe tidak mempunyai masalah seperti itu yang menyaksikan pemain berumur 21 tahun berkenaan melakar gol yang ke-22 musim ini dalam semua kejohanan.

Mbappe menerima bantuan Di Maria untuk jaringan pertamanya manakala Neymar menyumbang kepada golnya yang kedua, namun dia percaya skuad PSG secara keseluruhannya -- di sebalik himpunan pemain bintang -- tidak menerima pujian yang sewajarnya.

"Kita banyak bercakap mengenai empat penyerang," katanya kepada Canal. "Kami mahu membuktikan bahawa kami benar-benar pasukan yang baik.

"Memandangkan kesungguhan ini membuatkan kami berasa seronok, kami gembira. Saya fikir kami terlalu kerap menyebut gandingan empat pemain di bahagian depan, seolah-olah kami ditunjangi empat pemain sahaja sedangkan kami beraksi dengan 11 pemain!"




Editor: Shaiful Shamsudin