Monaco mempunyai sasaran tinggi serta menamatkan saingan dalam kelompok pertengahan liga tidak memadai buat kelab itu.

Tekanan terhadap pengurus, Leonardo Jardim, sedikit-sebanyak merosot apabila rentetan aksi kurang konsisten pasukan dibalas dengan membenam Lille, Sabtu lalu, namun terdapat laporan baru bahawa Monaco kini dalam usaha untuk mencari ketua jurulatih baru.

Mungkinkah Unai Emery -- pemenang Ligue 1 bersama Paris Saint-Germain (PSG) tetapi gagal di Arsenal -- menjadi pilihan terbaik untuk tugas itu?

Monaco dilaporkan sedang memburu pengurus baru selepas masa depan Jardim bersama kelab itu mula kelihatan samar dan Emery dikatakan mula menjadi sasaran.

Menurut Le 10 Sport, pegawai kelab bercadang untuk mengambil khidmat bekas pengendali Valencia, Marcelino, dan bekas pengendali PSG dan Perancis, Laurent Blanc.

Jurulatih ketiga yang dilaporkan menarik minat Monaco ialah Emery, yang dipecat Arsenal bulan lalu selepas menampilkan rentetan prestasi hambar dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Pengendali kelahiran Sepanyol itu mampu menggunakan pengalamannya bersama PSG untuk mengendali pasukan Monaco di samping ilmu yang dimiliki ketika membimbing Sevilla dan Valencia sebelum ini.

Monaco kini di tangga ketujuh Ligue 1, dengan kemenangan 5-1 ke atas Lille membenarkan skuad kendalian Jardim itu meraih semangat untuk menghadirkan prestasi yang lebih berkualiti.