'Satu dalam sejuta', itu yang diungkapkan oleh pengendali skuad Selangor, B. Sathianathan, mengenai legenda bola sepak negara, Allahyarham Mokhtar Dahari.

29 tahun lalu, tanggal 11 Julai 1991, jam 8.25 pagi, seluruh aktiviti rakyat Malaysia seolah-olah terhenti apabila dikejutkan dengan berita legenda bola sepak negara, Mokhtar Dahari menghembuskan nafas terakhir.

Bagi Sathianathan, yang pernah beraksi dengan pemain yang turut digelar 'Supermokh', melabelnya sebagai seorang pemain yang istimewa.

"Dia seorang pemain yang istimewa. Apa yang istimewa mengenai Mokhtar adalah cara dia bekerja. Dia seorang pemenang, memiliki mentaliti yang sentiasa mahu meraih kemenangan. Di atas padang, Mokhtar jelas sebagai seorang pemain yang istimewa," kata Sathianathan.

"Berbelanja wang sebanyak RM20 untuk membayar tiket menyaksikan perlawanan bola sepak sangat berbaloi apabila Mokhtar beraksi, termasuk dengan Datuk Soh Chin Aun. Kami sanggup mengeluarkan wang yang banyak untuk melihat apa yang dipamerkan di atas padang. Sukar untuk mendapatkan pemain seperti mereka.

"Seorang pemain berdedikasi, pemain yang bertaraf super."

Tambahnya lagi, "Mokhtar bukan seorang pemain yang banyak cakap tetapi dia sentiasa menasihati pemain-pemain muda.

"Dia pernah berkongsi dengan saya ketika bertindak sebagai jurulatih Kwong Yik Bank, Mokhtar memberitahu bahawa pemain-pemain era baru (pada ketika itu) kurang berdedikasi. Dia sentiasa memberikan motivasi kepada pemain-pemain yang baru."

"Jaringannya sentiasa menjadi kenangan dan semuanya cantik. Seorang pemain satu dalam sejuta."