29 tahun lalu, tanggal 11 Julai 1991, jam 8.25 pagi, seluruh aktiviti rakyat Malaysia seolah-olah terhenti apabila dikejutkan dengan berita legenda bola sepak negara, Mokhtar Dahari menghembuskan nafas terakhir.

Tiada kata dan perasaan untuk digambarkan betapa sedihnya rakyat Malaysia ketika seperti detik waktu terhenti.Kini 29 tahun Allahyarham Mokhtar meninggal, namun legasinya tidak dilupakan.

Dikenali sebagai seorang pemain yang berkemahiran tinggi mengawal bola, bijak mengatur corak permainan dan kepantasannya sering kali menjadi mimpi ngeri pasukan seperti Jepun, Korea Selatan, Kuwait, Indonesia malah England B. Rembatan padu kedua-dua belah kakinya merupakan senjata utama.

Mohd Mokhtar bin Dahari adalah nama sebenarnya, dilahirkan 13 november 1953 di Setapak, Selangor (kini Kuala Lumpur), anak sulung kepada pasangan Dahari Abeng dan juga Aminah binti Sharikan dan ketika berusia 11 tahun, beliau dan keluarganya berpindah ke Kampung Pandan.

Selepas 25 tahun pemergian Allahyarham, Malaysia masih belum menemui pemain sehebat beliau, apa yang ada hanyalah sebilangan pemain yang nampak hebat tetapi sekadar di peringkat Asia Tenggara.

Stadium Merdeka telah membuktikan bahawa kemunculan permata bola sepak negara itu, cukup terbilang sehingga menidakkan peribahasa `patah tumbuh hilang berganti' walaupun dengan terbinanya mercu tanda sukan negara Stadium Nasional dan Stadium Shah Alam.

Sejarah kegemilangan pada era 70-an dan 80-an yang dicipta Mokhtar dan rakan-rakan seperjuangan adalah detik yang banyak memberikan inspirasi kepada bola sepak negara.

Mokhtar adalah satu-satunya pemain yang pernah ditawarkan bermain oleh kelab terhebat Eropah, Real Madrid. Tawaran itu hadir selepas membantu pasukan pilihan Malaysia mengikat Arsenal 2-2 pada tahun 1972.

Selain Real, Mokhtar turut menarik minat beberapa kelab terbaik Liga perdana Inggeris. Semuanya ditolak atas dasar ingin terus menabur bakti kepada Selangor dan Malaysia.

Selepas pemergian pemain yang turut digelar 'Supermokh' pada 11 julai 1991, bola sepak negara terus malap tanpa kehadiran permata yang sehebat beliau sehingga ke hari ini.

Safee Sali pada awal kariernya dikatakan mempunyai bayangan dan berpotensi menjadi pengganti beliau.

Apa yang pasti, legasi tinggalan Supermokh belum mampu menerbitkan bintang baharu yang boleh menyinari kemalapan bola sepak kita. Terima kasih Supermokh kerana memberi impak yang cukup besar dalam bola sepak negara. Jasamu dikenang, legenda sepanjang zaman.

"Tiga perkara untuk menjadi pemain bola sepak berjaya, dedikasi, disiplin dan usaha. Jangan mudah putus asa," -- Allahyarham Mokhtar Dahari

Stadium Merdeka menjadi stadium keramat bola sepak Malaysia, bukan sekadar untuk pasukan kebangsaan tetapi turut menjadi gelanggang buat Selangor.

Kelibat Mokhtar bersama-sama Datuk Soh Chin Aun, Santokh Singh, mendiang A. Arumugam membentuk teras kekuatan Selangor yang digeruni lawan.

Sepanjang 167 kap kebangsaan, Mokhtar melakarkan 125 gol dan dalam 388 penampilan sementara bersama Selangor dari 1971 hingga 1990, Allahyarham menjaringkan 198 gol.

Fakta menarik Mokhtar Dahari

• dikenali dengan gelaran Supermokh

• tonggak kejayaan skuad negara mengatasi Arsenal dalam aksi persahabatan pada 1975

• Sir Bobby Robson memuji kelincahan Mokhtar ketika aksi berdepan skuad England B

• pernah beraksi dalam aksi persahabatan berdepan Diego Maradona