Anugerah Ballon d'Or sepatutnya diraih oleh pemain Perancis dan bukan pilihan utama, Luka Modric, kata Edinson Cavani.

Modric dilihat mendahului senarai calon untuk anugerah yang bakal menyaksikan buat kali pertama sejak 2007 tidak dimenangi oleh Lionel Messi atau Cristiano Ronaldo.

Pemain tengah Real Madrid, Modric, memainkan peranan utama dalam kejayaan Los Blancos menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah ketiga berturut-turut dan mengetuai Croatia layak ke final Piala Dunia sebelum tewas 4-2 di tangan Perancis.

Kecemerlangannya itu membolehkan Modric meraih anugerah Pemain Terbaik FIFA tetapi penggempur Paris Saint-Germain (PSG) dan Uruguay, Cavani, percaya bahawa pertahanan Madrid, Raphael Varane, bintang Atletico Madrid, Antoine Griezmann, serta rakan sepasukannya di Paris, Kylian Mbappe, adalah calon yang lebih layak untuk mengungguli anugerah Ballon d'Or tahun ini selepas mencipta kejayaan di Russia.

"Varane lebih bagus untuk berada dalam senarai itu bersama Griezmann dan Mbappe. Saya rasa pemain Perancis patut memenanginya. Pemain lain mungkin berpeluang tetapi ia harus dipilih dalam kalangan skuad Perancis yang memenangi Piala Dunia," kata Cavani.

"Modric melalui musim yang cemerlang tetapi rakan sepasukannya menjulang trofi Liga Juara-Juara dan Piala Dunia. Modric merupakan finalis dan meraih kempen hebat tetapi Varane lebih layak."