Luka Modric menafikan Real Madrid kini menghadapi krisis besar dalam pasukan selepas mengalami kekalahan mengejut 1-0 di tangan CSKA Moscow dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi tadi.

Madrid terpaksa menelan kepahitan selepas gol daripada Nikola Vlasic ketika permainan berusia seminit menyebabkan juara bertahan itu mengalami kekalahan kedua dalam tiga perlawanan.

Casemiro, Karim Benzema dan Mariano Diaz masing-masing menyaksikan percubaan terkena palang gol buat Madrid sambil mereka kini gagal menjaringkan gol dalam tiga aksi beturut-turut buat pertama kali sejak Januari 2007.

Tekanan kian memuncak buat pengendali, Julen Lopetegui, tetapi Modric yakin pasukannya akan mempamer kebangkitan.

"Tiada krisis yang berlaku tetapi kami tidak tampil di tahap permainan yang kami patut pamerkan," kata Modric.

"Tanpa ragu, kami akan kembali mengharungi kemenangan.

"Cuma pada malam ini, CSKA menunjukkan kepada kami bahawa mereka diuruskan dengan baik dan memiliki barisan pemain yang bagus.

"Mereka menggunakan peluang tetapi kami tidak."

Madrid terikat seri 0-0 dengan Atletico Madrid selepas dimalukan Sevillan 3-0 sebelum ini dan mereka bakal bertandang ke Deportivo Alaves, Sabtu ini.