Luka Modric tampil mempertahankan rakan sepasukannya di Real Madrid, Sergio Ramos, selepas rakan senegara, Dejan Lovren, mengkritik pemain Sepanyol itu.

Lovren sebelum ini memberitahu Copa90 bahawa Ramos hanya bergantung kepada kebolehan rakan sepasukan dengan menyatakan "dia melakukan kesilapan, memenangi 5-1 atau 5-2 dan tiada siapa kisah".

Selepas bertemu Lovren dalam kem latihan kebangsaan menjelang aksi Liga Negara-Negara Eropah bertemu Sepanyol dan England, Modric ditanya mengenai kritikan yang dilemparkan pertahanan Liverpool itu ke atas Ramos.

"Ramos seorang pemain dan kapten pasukan yang hebat," katanya kepada wartawan.

"Setiap kritikan ke atasnya tidak masuk akal. Dalam bola sepak, semua orang mudah lupa.

"Dia mempunyai peribadi yang baik dan saya yakin dia tidak akan mengendahkan kritikan tersebut."

Modric melalui tujuh musim gemilang bersama Real Madrid selepas berkhidmat selama empat musim di Tottenham Hotspur.

Dia pernah bertemu dengan kebanyakan pemain yang akan dihadapinya dalam saingan Liga Negara-Negara.

Bagaimanapun, dia enggan menjawab tentang situasi Sepanyol sebagai ancaman terbesar negaranya dalam saingan tersebut.

"Saya tidak mahu menyebut sebarang nama, mereka semua adalah pemain-pemain yang hebat.

"Luis Enrique telah memberikan tenaga baru dan kini mereka bermain sebagai satu pasukan.

"Mereka juga mempunyai pemain-pemain muda berbakat

"Kami tidak perlu takut walaupun bakal berdepan pasukan terbaik dunia," katanya lagi.