Luka Modric berkata dia terpijak kaki Denis Suarez sewaktu situasi yang menyebabkannya diperintahkan keluar padang ketika berdepan Celta Vigo tetapi menegaskan ia tidak disengajakan.

Semalam, Real Madrid meraih kemenangan 3-1 di Balaidos dalam aksi pertama LaLiga musim ini walaupun tanpa kelibat Modric di penghujung perlawanan.

Pemenang Ballon d'Or itu dilayangkan kad merah buat kali pertama dalam LaLiga selepas insiden dengan Suarez itu pada awal babak kedua.

Dia diberikan kad merah selepas rujukan kepada Video Bantuan Pengadil (VAR) tetapi menggunakan media sosial untuk mempertahankan dirinya selepas itu.

"Diperintah keluar padang atas sebab yang tidak disengajakan," katanya.

"Dalam hidup, saya tidak pernah melakukan perkara sebegitu dengan niat terhadap mana-mana pemain. Begitu juga dengan aksi ini!"

Bagaimanapun, kapten Madrid, Sergio Ramos, memahami kepputusan yang dibuat VAR untuk memberikan Modric kad merah.

"Segala elemen yang digunakan untuk mempertahankan bola sepak adalah bagus," katanya.

"Hari ini, ia tidak menyebelahi kami. Kami berakhir tanpa seorang pemain. Saya tidak fikir Modric berniat buruk tetapi dia tiba lewat dan pengadil tidak teragak-agak.

"Dia bercakap dengan pembantu perlawanan dan membuat keputusan. VAR ada untuk membantu kami dan jika ia untuk melindungi bola sepak, ia dialu-alukan."