GREECE 0 CROATIA 0 (Croatia menang agregat 4-1)

Kapten Croatia, Luka Modric, menyokong jurulatih, Zlatko Dalic, untuk terus mengemudi pasukan ke Russia selepas melayakkan diri ke Piala Dunia 2018, hari ini.


Seri 0-0 ketika bertemu Greece di Piraeus memadai buat Croatia untuk mara dengan kemenangan agregat 4-1 dan layak ke Piala Dunia buat kali kelima.

Dalic menggantikan Ante Cacic sebagai jurulatih pada awal bulan lalu, dengan membantu pasukannya meraih dua kemenangan dan satu seri untuk mendapatkan tempat ke Russia.

Modric, yang membintangi aksi pertama di Zagreb, mengatakan Dalic berhak membawa Croatia ke Russia.

"Sukar untuk Croatia jika bukan Dalic sebagai pengendali," kata Modric.

"Beliau telah melakukan tugas dengan cemerlang. Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada Cacic.

"Perkara penting untuk kami adalah melayakkan diri ke Piala Dunia." ujarnya.

Croatia dipaksa mengharungi aksi play-off apabila mengakhiri saingan Kumpulan I di tempat kedua di belakang Iceland.