Modric: Kemenangan Ballon d'Or satu perasaan unik

Oleh Penulis Jemputan 4 Disember 2018 255
Modric: Kemenangan Ballon d'Or satu perasaan unik
Luka Modric menyifatkan kejayaannya meraih anugerah Ballon d'Or, awal pagi tadi, sebagai satu penghormatan unik selepas mengatasi Cristiano Ronaldo dan Antoine Griezmann dalam penghargaan individu.

Modric muncul wakil Croatia pertama yang memenangi anugerah itu dan kejayaan itu bermakna berakhirnya dominasi Ronaldo dan Lionel Messi setelah masing-masing meraihnya lima kali sebelum ini.

Prestasi cemerlang Croatia dalam pusingan akhir Piala Dunia 2018 juga membolehkan Modric mengutip anugerah Bola Emas dan dinamakan selaku pemenang Pemain Terbaik FIFA awal tahun ini.

Bagaimanapun, anugerah Ballon d'Or masih dianggap tertinggi dalam penghargaan individu dunia bola selap sambil Modric berbesar hati dinamakan pemain paling sempurna 2018.

"Ia satu perasaan unik, saya gembira, bangga dan ia satu penghargaan," kata Modric. "Perasaan saya bercampur-baur.

"Saya hanya mahu mengucapkan terima kasih kepada semua yang membantu saya berada di sini. Rakan sepasukan, barisan jurulatih, staf pasukan serta Real Madrid. Semua yang bekerja di sana, jurulatih-jurulatih dan rakan-rakan dalam skuad kebangsaan, mereka yang mengundi saya dan akhir sekali, keluarga saya yang sentiasa memberi galakan.

"Sentiasa berangan-angan, saya mahu beraksi untuk kelab besar, meraih kejuaraan dan Ballon d'Or adalah sesuatu yang saya idamkan ketika kecil. Ia satu penghargaan besar dapat memenanginya ketika ini.

"Saya rasa berbesar hati dikelilingi oleh semua pemain di sini. Saya sering terfikir, saya cuba untuk membiasakan diri menjadi sebahagian daripada kumpulan pemain hebat yang telah meraih Ballon d'Or sebelum ini. Ia satu penghormatan dapat berada dalam kumpulan ini.

"Di sepanjang karier, saya sedar bahawa kerja keras, percaya kepada diri, ketekunan adalah asas untuk membuktikan bakat anda. Saya suka untuk berkata, setiap yang terbaik tidak akan mudah. Bagi saya, ia tidak mudah. Apa yang perlu adalah menggunakan peluang yang ada," katanya.

Dalam masa sama, Modric berpendapat beraksi lebih ke bawah di bahagian tengah kelab dan pasukan kebangsaan telah membolehkannya naik ke satu tahap permainan yang lebih baik.

"Perubahan posisi telah membolehkan saya memperkembangkan permainan kerana sebelum ini saya merupakan seorang pemain yang menyerang," tambah Modric.

"Apabila berundur di atas padang, saya dapat lihat lebih banyak aspek perlawanan, sekali gus mempamerkan kreativiti dan permainan sebenar. Dalam tahun kedua saya di Tottenham Hotspur, saya beraksi selaku pemain tengah dan berasa lebih baik."

Menerusi undian tahun ini, Ronaldo menduduki tangga kedua sambil penggempur Perancis dan Atletico Madrid, Griezmann, di tempat ketiga selepas memenangi Piala Dunia dan Liga Europa bagi tahun 2018.

Kylian Mbappe terlepas peluang untuk menempatkan diri dalam kelompok tiga terbaik tetapi diberikan anugerah perdana Trofi Kopa selaku pemain terbaik dunia bawah 21 tahun.
 
KEDUDUKAN TERAKHIR UNDIAN BALLON D’OR
 
29= Isco (Real Madrid), Hugo Lloris (Tottenham)
28= Diego Godin (Atletico Madrid)
25= Alisson (Roma/Liverpool), Mario Mandzukic (Juventus), Jan Oblak (Atletico Madrid)
22= Edinson Cavani (Paris Saint-Germain), Sadio Mane (Liverpool), Marcelo (Real Madrid)
19= Roberto Firmino (Liverpool), Ivan Rakitic (Barcelona), Sergio Ramos (Real Madrid)
17= Karim Benzema, Gareth Bale (Real Madrid)
16= Sergio Aguero (Manchester City)
15= Paul Pogba (Manchester United)
14= Thibaut Courtois (Chelsea/Real Madrid)
13= Luis Suarez (Barcelona)
12= Neymar (Paris Saint-Germain) 
11= N'Golo Kante (Chelsea)
10= Harry Kane (Tottenham)
9= Kevin De Bruyne (Manchester City)
8= Eden Hazard (Chelsea)
7= Raphael Varane (Real Madrid)
6= Mohamed Salah (Liverpool)
5= Lionel Messi (Barcelona)
4= Kylian Mbappe (Paris Saint-Germain)
3= Antoine Griezmann (Atletico Madrid)
2= Cristiano Ronaldo (Real Madrid/Juventus)
1= Luka Modric (Real Madrid)
 
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen