Modric beri bayangan bakal hijrah ke Itali

Oleh Penulis Jemputan 13 November 2019 980
Modric beri bayangan bakal hijrah ke Itali
Pemain tengah Real Madrid, Luka Modric, mendedahkan dia sukakan Itali dan terbuka untuk berhijrah ke Serie A di masa akan datang.

Semalam, pemain berusia 34 tahun itu meraih anugerah Kaki Emas, setahun selepas memenangi Ballon d'Or susulan aksi cemerlang tahun lalu.

Namun, dia hanya tiga kali membarisi kesebelasan utama Real musim ini dan dikaitkan dengan perpindahan ke kedua-dua kelab Milan.

Pemain Croatia itu berkata dia mengikuti perkembangan Serie A dan menikmati saingan di Itali tatkala perpindahan mungkin berlaku di masa akan datang.

"Saya sukakan Itali, ia dekat dengan Croatia," katanya kepada Sky Sport.

"Saya mengikuti Serie A kerana ramai rakan senegara beraksi di sana.

"Warga Itali sangat hebat dan memiliki mentaliti sama seperti orang Croatia."

Modric menambah: "Lihat jika satu hari nanti saya akan beraksi di Itali. Saya tidak boleh bercakap tentangnya kerana saya adalah pemain Real Madrid.

"Saya gembira di Real dan buat masa sekarang, saya melihat masa depan di sana."

Modric sudah bersama Real dari 2012 sejak hadir daripada Tottenham Hotspur dan telah tampil lebih 300 kali buat Los Blancos.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen