Pengendali Croatia, Zlatko Dalic, memuji Luka Modric menjelang aksi separuh akhir Piala Dunia bertemu England, awal pagi esok, apabila mengatakan pemain tengah itu kini berada di tahap terbaik.

Pemain berusia 32 tahun itu menyinar di Russia dan telah dinamakan sebagai pemain terbaik perlawanan dalam tiga daripada lima perlawanan yang diharungi Croatia.

Pemain Real Madrid itu, yang disebut-sebut sebagai calon untuk anugerah Bola Emas, mungkin beraksi di pentas Piala Dunia terakhir dan Dalic gembira melihat Modric beraksi di tahap terbaiknya.

"Ia adalah kualiti yang dipamerkan sejak bertahun-tahun. Apabila anda melihatnya berlari selepas 115 minit untuk mendapatkan bola, ia menunjukkan satu keinginan sambil memberi semangat kepada rakan sepasukannya," kata Dalic.

"Modric telah meraih segala yang diimpikan di perinigkat kelab tetapi masih berusaha untuk mendapatkan pencapaian terbaik bersama skuad kebangsaan.

"Memandangkan ini adalah Piala Dunia terakhirnya, saya teruja melihatnya berada dalam kelompok empat terakhir, namun semua pemain telah memberikan sumbangan.

"Kami meraih kejayaan sebagai sebuah pasukan, membantu satu sama lain dan mungkin ini adalah tempoh terbaik buat Modric.

"Dia sedang beraksi di tahap terbaik dalam kariernya."

Dalam masa sama, Croatia turut berdepan beberapa masalah kecederaan apabila Sime Vrsaljko mengalami kesakitan pada bahagian lutut sambil penjaga gol, Danijel Subasic, turut tercedera.

"Vrsaljko mengalami masalah. Kami mahu semua pemain berada dalam keadaan 100 peratus cergas. Kami akan tahu selepas sesi latihan nanti.

"Kami memerlukan pemain-pemain tetapi mereka perlu cergas di atas padang. Kami beraksi dalam lima perlawanan yang sukar dan mereka beraksi hebat.

"Kami kepenatan tetapi itu tidak boleh menjadi alasan kerana kami berada di sini untuk menikmati saingan.

"Masih ada peluang untuk kami memberikan segala-gala yang kami ada," tambahnya.