Kira-kira seratus kanak-kanak dan remaja di sekitar Ranau bakal menyertai klinik bola sepak 'Back To Basic' di Padang Pekan Kundasang, Sabtu dan Ahad ini.

Klinik yang dianjurkan Media Mix Team (MMT) dengan sokongan dan tajaan daripada pelbagai parti politik serta orang perseorangan itu akan dikendalikan jurulatih berpengalaman, Justin Ganai.

Pengerusi penganjur, Emran Azmie Rosle, berkata antara objektif utama klinik itu adalah bagi mendedahkan peminat bola sepak dengan teknik asas bola sepak.

"Seperti yang sering kali dikatakan, teknik asas bola sepak adalah satu perkara penting sekiranya seseorang itu mahu pergi lebih jauh dalam sukan itu.

"Di samping itu, klinik ini juga bertujuan untuk mencungkil bakat-bakat bola sepak yang ada di Ranau dan mereka juga bertuah kerana bakal menimba ilmu dengan jurulatih yang berpengalaman luas," katanya ketika dihubungi, di Kota Kinabalu, hari ini.

Emran berkata, setakat ini lebih 70 peserta yang berusia antara lapan hingga 16 tahun telah mendaftar dan jumlah itu dijangka meningkat menjelang klinik berkenaan.

"Saya juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua penaja yang sudi memberi bantuan dan sokongan bagi menjayakan program ini," katanya.

Tambah beliau, turut diadakan sempena program itu ialah perlawanan persahabatan di antara pasukan Veteran ManUnited Ranau dan MMT.