ZORYA 0 MANCHESTER UNITED 2

Henrikh Mkhitaryan lega selepas berjaya menamatkan penantian panjang untuk menjaringkan gol pertamanya bersama Manchester United pada awal pagi tadi dalam kemenangan 2-0 ke atas Zorya dalam aksi Liga Europa.


Setelah dibawa masuk dari Borussia Dortmund pada bulan Julai, pemain perancang itu terpaksa mengatasi masalah kecederaan dan kritikan daripada pengurus, Jose Mourinho, sebelum mendapat tempat dalam pasukan.

Dia menjaringkan gol pertama untuk kelab itu dalam 11 penampilannya dengan gerakan solo yang begitu cemerlang ketika United mencatat kemenangan 2-0, sekali gus mengesahkan tempat mereka di peringkat kalah mati Liga Europa.

Mkhitaryan yang meledak gol hasil daripada hantaran lewat Zlatan Ibrahimovic, berharap dengan membuka akaun jaringannya, dia dapat membuktikan kemampuan sebenarnya.

"Ia seperti (melepaskan beban berat di atas bahu) kerana saya menunggu masa yang lama untuk jaringan ini dan berharap saya akan terus menjaringkan gol," katanya kepada BT Sport.

"Tetapi sasaran seterusnya adalah untuk menjaringkan gol di Old Trafford kerana saya mahu menjaringkan gol di laman sendiri.

"Ia sesuatu yang cukup bermakna untuk menjaringkan gol di Old Trafford dan saya akan cuba melakukan yang terbaik untuk mendapatkan gol tersebut."

Mkhitaryan mengakui United beraksi di bawah tahap sebenar pada separuh masa pertama di Ukraine tetapi kagum dengan perubahan yang dilakukan selepas rehat dan memuji impak yang diberikan oleh Wayne Rooney.

Pemain antarabangsa Armenia itu menambah: "Separuh masa kedua kami bermain dengan lebih baik daripada sebelum rehat. Kami gagal untuk mencari ruang yang betul atau melakukan hantaran yang tepat dan kurang persefahaman.

"Tetapi pada separuh kedua, ia sebaliknya. Kami bermain dengan baik, cuba untuk memperbaiki diri dan berjaya menjaringkan gol. Kami mewujudkan ruang untuk pemain sayap dan penyerang.

"Wayne Rooney membuka ruang untuk saya dan saya menjaringkan gol, begitu juga jaringan Ibra -- kami mempunyai banyak ruang di hadapan untuk melakukan jaringan. Perkara yang paling penting adalah kami menang dan kami akan ke peringkat seterusnya."

United akan kembali beraksi di laman sendiri dalam saingan Liga Perdana Inggeris menentang Tottenham pada Ahad.