Penyerang Newcastle United, Aleksandar Mitrovic, percaya dia mesti meninggalkan St James' Park pada Januari ini untuk kebaikan kerjayanya.

Pemain antarabangsa Serbia itu menjaringkan sembilan gol Liga Perdana Inggeris dalam musim pertamanya bersama skuad Magpies itu tetapi mendapati aksi tetap di bawah jurulatih, Rafa Benitez, jauh lebih sukar untuk dicapai.

Mitrovic belum memulakan perlawanan Liga Perdana musim ini dan ditinggalkan skuad untuk perlawanan keempat berturut-turut selepas pertembungan dengan Manchester City, awal pagi tadi.

Kepulangan ke salah sebuah daripada dua bekas kelabnya -- Partizan Belgrade atau Anderlecht -- telah dicadangkan tetapi Mitrovic menjangkakan kekangan kewangan menghalangnya daripada beralih ke tanah airnya.

Mitrovic memberitahu Zurnal: "Saya sentiasa menunggu peluang sejak beberapa bulan lalu dan saya tidak dialu-alukan.

"Saya kesal. Saya menyukai Newcastle tetapi sudah tiba masanya bagi saya untuk melihat ke depan, mendapatkan penyelesaian terbaik untuk kerjaya saya. Saya cuba menjadi jujur ​​dengan diri sendiri dan rakan sepasukan saya dalam setiap sesi latihan dan dalam perlawanan.

"Dan hakikat bahawa saya tidak mendapat peluang bukan hanya saya sedar. Semua orang tahu bahawa saya dibiarkan secara tidak sengaja.

"Saya tidak pernah berasa lebih baik, secara fizikal saya dalam prestasi sempurna, saya tidak sabar untuk bermain. Yang paling penting ialah mencari kelab dan akhirnya mendapat peluang di padang."