Kapten Real Madrid, Sergio Ramos, menegaskan kepentingan aksi El Clasico dengan mengatakan juara bertahan LaLiga itu perlu menang tatkala Barcelona terus menetapkan haluan kancah di Sepanyol.

Madrid akan menanti kunjungan Barcelona di Santiago Bernabeu, Sabtu ini, dengan pelawat dari Catalan itu membawa kelebihan 11 mata di singgahsana LaLiga.

Pasukan Ramos mempunyai kelebihan satu perlawanan, namun ketua pasukan itu memahami akibat kekalahan Madrid.

"Ia akan menjadi perlawanan hebat," kata Ramos dalam satu majlis penajaan, semalam. "Tiada perkataan untuk menggambarkan Clasico.

"Ia berbeza dan ia perlawanan paling penting di dunia.

"Kami diwajibkan menang berikutan situasi yang sedang kami hadapi jika kami ingin terus berjuang merebut kejuaraan LaLiga."

Tambah Ramos: "Kami dalam prestasi yang baik selepas memenangi Piala Dunia Kelab, ia masa yang tepat untuk meningkatkan psikologi pasukan.

"Kami begitu bersemangat untuk beraksi dan telah bekerja keras minggu ini, jadi kami berharap dapat memperoleh tiga mata yang membolehkan kami kekal dekat dengan pasukan di depan kami."