Pendatang baharu Liga Perdana, MISC-MIFA, nyata serius menghadapi saingan musim depan apabila melakukan ujian percubaan pemain import selain meletakkan sasaran berada dalam kalangan lima terbaik.

Menurut Setiausaha Eksekutifnya. S. Vinodkana, MISC-MIFA kemungkinan hanya akan mengambil tiga pemain untuk kuota import musim depan.

Buat masa ini, mereka sedang giat menguji pemain dari Croatia dan Nigeria dalam beberapa perlawanan persahabatan sebelum membuat sebarang keputusan.

Vinodkana melihat langkah untuk mendapatkan import, jelas satu keputusan yang perlu diambil jika mahu memberi saingan dalam Liga Perdana.

"Persiapan berjalan lancar dan kami masih berada dalam pemilihan pemain.

"Untuk pemain import, sasaran kami adalah tiga orang. Jadi, setakat hari ini kami belum lagi mengesahkan pemain import itu. Hari ini pun ramai yang datang," kata Vinodkana.

Selain itu, MISC-MIFA yang tidak mahu kehadiran mereka sekadar mencukupkan penyertaan, turut mengambil beberapa pemain tempatan berkualiti.

Vinodkana yakin dengan pendekatan itu mampu membawa MISC-MIFA berada sekurang-kurangnya di kedudukan pertengahan liga.

"Kami ada beberapa pemain tempatan baharu, tetapi tidaklah ramai sangat. Kami ambil daripada pasukan-pasukan lain," tambahnya.