MISC-MIFA dakwa pemainnya 'dicuri'

Oleh Staff Writer 18 Oktober 2016 6
MISC-MIFA dakwa pemainnya 'dicuri'
Jurulatih MISC-MIFA, Jacob Joseph, mendedahkan empat pemain utamanya 'dicuri' sebaik melayakkan diri ke Liga Perdana musim depan, dalam persediaan untuk aksi final Piala FAM menentang PKNP Perak, 20 dan 27 Oktober ini.

MISC-MIFA mencatat sejarah layak ke Liga Perdana buat kali pertama sejak penubuhannya pada 2004 susulan kejayaan menundukkan AirAsia Allstars FC dengan agregat 2-1 dalam aksi separuh akhir tempoh hari.

Menyerlahkan kualiti MISC-MIFA, kelibat pemain pasukan ini mendapat tumpuan dan kini empat pemain disahkan akan berhijrah musim depan selepas ditawarkan gaji lumayan.

"Kami terpaksa melepaskan pemain-pemain tersebut kerana apa yang mereka minta, kami tidak dapat turuti. Mereka mahukan gaji yang tinggi seperti yang pasukan lain mampu berikan.

"Kami pasukan yang mempunyai bajet yang rendah. Bagaimanapun, kami bakal mencari pemain-pemain muda untuk memberikan kekuatan kepada pasukan untuk beraksi dalam Liga Perdana dan sasaran kami untuk perada di pertengahan kedudukan liga, itu sudah memadai," kata Jacob.

Lantas, presidennya, Datuk T. Mohan, bersikap realistik mengenai sasaran dalam liga tahap kedua negara itu musim depan, namun tetap mahukan kemenangan menentang PKNP dalam final Piala FAM.

"Saya percaya kepada pemain-pemain saya kerana mereka cukup bersemangat dan mereka telah melakukan segala persediaan. 

"Saya juga percaya dalam dua perlawanan ini, kami pasti mampu meraih kemenangan dan saya mempunyai keyakinan yang tinggi untuk kami muncul selaku juara dalam Liga FAM," kata Mohan.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen