Selepas 89 minit menanti, pasukan Majlis Sukan India Malaysia-Persatuan India Malaysia (MISC-MIFA), berjaya memperoleh gol tunggal perlawanan ketika menentang Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dalam aksi sengit pertama final Piala FAM di Stadium Shah Alam, malam ini.

Pertembungan dua pasukan itu dianggap kemuncak yang mendebarkan bersandarkan kepada reputasi MISC-MIFA dan PKNP yang cemerlang dalam saingan Liga FAM.

Selaku juara Kumpulan A, MISC-MIFA tampil dengan persembahan hebat dengan mengumpukan 31 gol daripada 16 perlawanan.

Babak pertama di Shah Alam berlangsung seimbang menerusi beberapa percubaan berbahaya, terutama yang dijana oleh PKNP.

Dua sepakan percuma yang diperoleh anak buah Abu Bakar Fadzim menerusi Shahreel Fikri Fauzi dan Mugenthiren hampir memberikan kelebihan kepada PKNP.

Hamizul Izaidi pula hampirkan mencetuskan gol pertama buat PKNP, bagaimanapun sepakan derasnya hanya sedikit melewati pintu gol.

Corak permainan tuan rumah berubah pada babak seterusnya dengan beberapa gerakan berbahaya, namun masih belum ada jaringan dapat dihasilkan.

Akhirnya, kesilapan pertahanan PKNP, Mazni Hasnan, yang mengasari G. Tiphen Raj, menghadiahkan sepakan penalti yang disudahkan pemain itu sendiri, ketika permainan menuju dua minit sebelum waktu kecederaan.

Aksi timbal balik perlawanan akhir Piala FAM akan berlangsung di Stadium Perak, pada 27 Oktober depan.