Pemain Lazio, Sergej Milinkovic-Savic, menjelaskan dia gembira untuk bersama The Biancocelesti walaupun wujud laporan perpindahannya ke Juventus, namun tidak dapat memberikan jaminan mengenai masa depannya.

Juara Itali itu merupakan salah satu pasukan yang berminat untuk mendapatkan khidmat pemain berusia 23 tahun itu yang beraksi dalam kesemua perlawanan buat Serbia dalam saingan Piala Dunia 2018 sebelum tersingkir.

Selepas menewaskan Costa Rica dalam aksi pertama Kumpulan E, Serbia tunduk di tangan Switzerland dan Brazil, sekali gus meletakkan mereka di tangga ketiga kumpulan dan terkeluar daripada saingan di Russia.

Selepas tewas 2-0 di tangan Brazil, pemain yang dianggarkan bernilai EUR120 juta (RM560 juta) itu berharap diberikan ruang untuk berehat.

"Saya memerlukan rehat pada waktu ini.

"Saya akan kembali ke Rome dan gembira jika kekal di Lazio memandangkan saya diperlukan di sana serta masih mempunyai kontrak," katanya.

Milinkovic-Savic menjaringkan 12 gol dalam 35 penampilan buat Lazio sehingga membolehkan mereka menduduki tangga kelima Serie A bagi musim 2017/18 dan hasil daripada aksi cemerlangnya di bawah kendalian Simone Inzaghi, beberapa gergasi Eropah, termasuk Manchester United dan Real Madrid, berhajat untuk mendapatkan khidmatnya.

"Setiap hari saya membaca perkara yang berbeza menerusi akhbar tetapi saya masih belum memikirkannya.

"Pertama sekali, saya mahu berehat dan kita akan lihat nanti."