Stefano Pioli berasakan AC Milan telah menunjukkan keyakinan untuk kekal sebagai pencabar kejuaraan Serie A ketika menewaskan Hellas Verona 2-0 malam tadi.

Rade Krunic dan Diogo Dalot menjaringkan gol pertama mereka dalam Serie A untuk merapatkan jurang Milan dengan pendahulu liga, Inter Milan, kepada tiga mata dalam perlawanan di Stadio Marc'Antonio Bentegodi.

Krunic membuka jaringan menerusi sepakan percuma gemilangnya dalam babak pertama dan Dalot kemudian menggandakan kelebihan itu dengan jaringan bertaraf dunia dalam babak berikutnya.

Ketua jurulatih Rossoneri, Pioli, berbangga dengan cara pasukannya mengekalkan rekod empat perlawanan tanpa kalah menjelang pertemuan dengan Manchester United dalam pusingan 16 Liga Europa (UEL) awal pagi Jumaat ini.

Dia berkata kepada Sky Sport Italia: "Kami telah menunjukkan bahawa kami mempunyai keyakinan. Ia perlawanan yang sukar."

Pioli menambah: "Kami bukan makhluk asing, kami pasukan muda di mana semua orang berasa bangga dan semua orang mahu meneruskannya.

"Tetapi kami tahu bagaimana untuk mengatasi kekurangan kami. Kami tahu apa kekuatan dan kelayakan kami."

Theo Hernandez dan Ante Rebic berada dalam senarai kecederaan Milan selepas diikat seri Udinese tetapi Pioli berkata mereka tidak akan mengeluh dengan kehilangan itu, di mana Zlatan Ibrahimovic juga masih diketepikan.

Dia berkata: "Kami amat bagus untuk tidak meratapi nasib kami. Kami perlu seimbang dalam menilai prestasi kami, termasuk ketika kami menang."