Siku kiri Ante Rebic terkehel ketika memperkuatkan Milan menentang Crotone dan mujur dia tidak dilanda kecederaan lebih serius -- patah tulang -- demikian umum Milan malam tadi.

Penggempur itu terjatuh ketika melancarkan serangan dan segera memberi isyarat supaya digantikan dalam kemenangan 2-0 semalam susulan berasa tidak selesa dengan lengannya.

Pemain antarabangsa Croatia itu telah menjalani pemeriksaan perubatan terhadap kecederaan tersebut dan lega didapati tidak patah sebarang tulang atau ditimpa kerosakan saraf.

Dalam satu kenyataan ringkas yang dikeluarkan di laman sesawang gergasi Itali itu mendedahkan Rebic akan sekali menjalani ujian kesihatan dalam 10 hari.

Pemain berusia 27 tahun itu akan terlepas dua perlawanan -- membabitkan perlawanan Liga Europa bertemu Rio Ave dan Spezia (Serie A) -- bersama Rossoneri sebelum rehat antarabangsa bulan depan.

Kecederaan Rebic memburukkan lagi situasi kelab yang berpangkalan di San Siro itu yang sudah pun ketiadaan Zlatan Ibrahimovic yang didapati positif COVID-19.

Lorenzo Colombo akan menggantikan peranan Rebic dalam aksi Stadio Ezio Scida, Jumaat ini selepas produk remaja itu mencuri perhatian apabila mencetak gol kemenangan 3-2 ke atas Bodo/Glimt dalam kempen Liga Europa minggu lalu.