AC Milan mengesahkan kecederaan buku lali yang dialami Zlatan Ibrahimovic dalam sesi latihan semalam tidak serius selepas menjalani proses imbasan.

Ibrahimovic mengalami kesakitan di bahagian buku lali kanan ketika aksi latihan awal minggu ini sehingga mencetuskan pelbagai isu.

Pihak media mendakwa penyerang berusia 38 tahun dari Sweden itu mengalami kecederaan serius di bahagian buku lali sehingga memberikan kesan kepada kariernya.

Penggempur itu dilaporkan bakal terlepas baki saingan Serie A musim ini selepas dijangka bersambung bulan depan susulan penangguhan akibat coronavirus.

Namun, ujian hari ini mendapati ia tidak serius walaupun penyerang itu perlu berehat selama 10 hari sebelum pemeriksaan susulan dijalankan di bahagian betis.

"Milan mengumumkan Ibrahimovic telah mengalami kecederaan di bahagian kanan dalam sesi latihan semalam. Buku lalinya dalam keadaan baik dan dia akan menjalani imbasan dalam tempoh 10 hari lagi," kata wakil kelab itu.

Ibrahimovic -- yang pernah menyarung jersi The Rossoneri selama dua tahun sebelum ini -- bersetuju untuk kembali menyertai Milan pada Disember lalu setelah meninggalkan kelab Amerika Syarikat, LA Galaxy.

Dia telah meledakkan tiga gol dalam lapan penampilan Serie A musim ini.