Pengendali AC Milan, Gennaro Gattuso, menyifatkan pasukannya tidak boleh leka dan harus menundukkan Ludogorets menjelang aksi kedua pusingan 32 terakhir Liga Europa di San Siro, awal pagi esok.

Skuad Rossoneri itu membawa kelebihan tiga gol dalam perlawanan pertama di Bulgaria pada minggu lalu selepas Patrick Cutrone, Ricardo Rodriguez dan Fabio Borini masing-masing menyumbat satu gol, sekali gus meletakkan Milan selangkah ke kelompok 16 terakhir dengan kemenangan 3-0.

Bagaimanapun, Gattuso berasakan bahawa dia perlu mengingatkan anak buahnya bahawa lawan tidak akan memberikan jalan mudah dalam aksi timbal-balik sambil menyifatkan Ludogorets tidak akan kehilangan apa-apa dalam kunjungan ke Milan.

"Kami akan bekerja keras daripada segi teknikal dan taktikal menjelang aksi awal pagi esok.

"Apa yang dirisaukan adalah seandainya pemain-pemain memandang rendah keupayaan lawan. Saya harus mengingatkan mereka bahawa ia tidak akan menjadi mudah.

"Bekalan tiga gol boleh dipadamkan bila-bila masa sahaja. Kami harus menghormati Ludogorets dan tidak boleh leka," kata Gattuso.

Dalam masa sama, pengendali berusia 40 tahun itu sedar akan penglibatan Cutrone dalam beberapa perlawanan kebelakangan ini sehingga mungkin menyebabkan penyerang itu kepenatan tetapi Gattuso yakin dia berada dalam keadaan yang bagus.

Gattuso juga memuji tahap disiplin yang ditunjukkan oleh Andre Silva walaupun bergelut untuk mempamerkan sentuhan berbisa sejak tiba dari Porto pada musim panas lalu.

"Cutrone berusia 20 tahun, jadi ia berbeza apabila bercakap tentang pemulihan seorang pemain yang muda.

"Walaupun telah banyak beraksi, dia tetap menjalani latihan penuh dan pastinya kini dia berada dalam keadaan terbaik.

"Silva berlatih dan berusaha keras. Kadangkala anda perlu membuatkannya berhenti. Dia sering menjadi antara pemain yang terakhir meninggalkan Milanello (pusat latihan).

"Apa yang kita saksikan dalam 20 minit terakhir ketika menentang Sampdoria adalah Silva yang sebenar. Dia akan menjaringkan gol tidak lama lagi dan itu akan membuatkannya tenang."