AC MILAN 0 AEK ATHENS 0

Vincenzo Montella merayu kepada peminat AC Milan yang kecewa agar terus memberi sokongan kerana pemainnya sedang belajar untuk memenuhi harapan kelab bersejarah itu.


Milan diejek di San Siro berikutan keputusan seri 0-0 menentang AEK Athens dalam saingan Liga Europa, awal pagi tadi.

Persembahan mengecewakan itu merumuskan tiga kekalahan berturut-turut dalam Serie A baru-baru ini, dengan prestasi buruk itu berterusan susulan kekalahan 3-2 dalam pertembungan 'derby' dengan Inter, hujung minggu lalu.

Tetapi, Montella, yang semakin terdesak menegaskan bahawa skuadnya yang telah dirombak pada musim panas lalu, dapat mengubah nasib mereka menerusi sokongan penyokong.

"Kekecewaan dan rasa tidak puas hati di stadium dapat dirasai pasukan ini berikutan tiga kekalahan dalam Serie A berbanding prestasi pasukan itu sendiri," kata Montella kepada Sky Sport Italia.

"Kami mencipta banyak peluang dan gagal menyudahkannya dengan baik.

"Saya menggesa peminat dan kelab ini untuk berdiri teguh di belakang pemain yang lebih memerlukan pelukan daripada diejek dalam tempoh yang sukar ini.

"Saya melihat pemain muda mahu melakukan sesuatu yang lebih besar lagi, mereka mahu membuktikan mereka berada di Milan dan itu mewujudkan halangan psikologi.

"Ia adalah proses perkembangan dan saya yakin kami akan mencapainya kerana kebanyakan pemain ini tidak pernah menyarung jersi hebat seperti ini dan keadaan menjadikan mereka bergelut untuk menampilkan aksi sebenar," katanya.

Bagaimanapun, pemain tengah Milan, Manuel Locatelli, mendakwa penyokong berhak menyuarakan rasa tidak puas hati dengan keputusan hari ini.

"Peminat mempunyai alasan untuk mengejek," kata pemain berusia 19 tahun itu.

"Kami adalah pasukan hebat tetapi kami perlu membuktikannya. Kami mempunyai kualiti -- kami perlu membuktikannya di atas padang dan cuba untuk tidak mengecewakan peminat kami."