Bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) Arsenal, Ivan Gazidis, dilantik secara rasmi oleh AC Milan untuk posisi sama selepas disahkan oleh kelab Itali itu.

Individu berusia 54 tahun itu meninggalkan Arsenal, Oktober lalu, selepas bersama The Gunners selama 10 tahun dan mengetuai proses penstrukturan semula kelab London tersebut.

Namun, semalam Milan melantiknya sebagai CEO secara rasmi walaupun dia dikaitkan dengan kelab gergasi Itali itu sekian lama sejak meninggalkan The Gunners.

"Satu penghormatan untuk dipilih Milan memasuki era baru sebagai CEO," kata Gazidis.

"Saya mahu memastikan kepada jutaan peminat Milan di seluruh dunia bahawa saya akan bekerja sepenuh hati dan jiwa.

"Untuk mencapai apa yang kami mahukan bersama kelab hebat ini, kerja keras perlu dimulakan dan ia memerlukan kerjasama berpasukan di dalam dan luar padang.

"Saya sangat gembira dengan peluang yang diberikan. Walaupun laluan bakal mencabar, saya yakin kami mampu membawa Milan kembali ke tempat asal."