AC Milan tidak akan kembali menjadi kuasa besar Eropah sehingga mereka menjadi lebih stabil di atas padang, kata pemain tengah pasukan itu, Lucas Biglia.

Pasukan juara 18 kali Serie A itu tidak pernah menamatkan saingan liga dengan kedudukan lebih baik berbanding tempat kelima sejak musim 2012-13 dan berada di tangga ketujuh berbaki 12 perlawanan musim ini.

Milan berada di bawah kendalian empat jurulatih berbeza sejak Biglia menyertai pasukan itu pada 2017 dan terdapat spekulasi bahawa pengendali terkini mereka, Stefano Pioli, akan meninggalkan pasukan itu pada penghujung musim ini.

Bekas kelab gergasi Itali itu turut bertukar pemilik sebanyak dua kali dalam beberapa tahun ini dan Biglia mengakui kekurangan daripada pihak pengurusan telah menyekat perkembangan pasukannya.

"Tidak banyak yang dimenangi kami dalam beberapa tahun ini," katanya kepada FM 94.7.

"Pemilik kelab ini sudah bertukar sebanyak dua kali sejak saya tiba di sini.

"Apabila terdapat kestabilan, Milan akan menjadi Milan semula, ia akan menjadi kuasa besar Eropah semula tetapi ia memerlukan masa," katanya.

Biglia melakukan 63 penampilan sejak menyertai Milan daripada Lazio tiga tahun lalu, hanya tujuh daripadanya dalam saingan musim ini.

Kontrak pemain berusia 34 tahun itu akan tamat pada penghujung bulan depan dan dia tidak menolak kemungkinan untuk kembali ke negara asalnya, di mana dia mewakili Argentinos dan Independiente.

"Saya sedang menilai masa depan saya -- kontrak saya akan tamat pada Jun ini dan saya tidak menafikan kepulangan ke Argentina.

"Selepas itu, selepas karier saya tamat, saya mahu menghabiskan masa bersama keluarga, yang memerlukan saya, selain memulakan kursus kejurulatihan di Eropah.