Pengendali Milan, Stefano Pioli, memberi amaran kepada pemainnya agar tidak berpuas hati dalam mengejar kelayakan Liga Juara-Juara (UCL) sejurus merakamkan kemenangan 3-0 ke atas Juventus semalam.

Brahim Diaz membuka gol dalam babak pertama sebelum Franck Kessie melepaskan peluang untuk menggandakan kelebihan, ketika Wojciech Szczesny melakukan kesilapan menjatuhkan pemain lawan.

Pemain gantian, Ante Rebic dan Fikayo Tomori melengkapkan kemenangan pertama Serie A menentang Bianconeri sejak Mac 2011 dalam 12 minit terakhir.

Kemenangan itu adalah yang ke-14 Milan di tempat sendiri dalam liga musim ini, dengan hanya Inter pada 2006-07 (15) yang merekodkan kemenangan lebih banyak dalam satu kempen dalam sejarah pertandingan.

Pioli sangat gembira dengan usaha pasukannya, tetapi mengatakan mereka harus segera mengalihkan fokus mereka ke hari Rabu, ketika mereka kembali ke Turin untuk menghadapi Torino.

"Pasukan ini memiliki tahap keyakinan yang tinggi, menunjukkan semangat pengorbanan, yang memberikan semuanya dan juga menunjukkan kualiti sebenar di atas padang," katanya kepada Sky Sport Italia.


"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada penyokong kami, yang benar-benar menggerakkan kami dengan sokongan mereka, tetapi sekarang kami mempunyai permainan lain yang akan datang dan itu mungkin lebih sukar daripada ini."

Kemenangan itu menyaksikan Rossoneri melonjak ke tangga ketiga, tiga mata berkelebihan ke atas Juve, yang jatuh ke tangga kelima dengan berbaki tiga perlawanan.