AC MILAN 5 AUSTRIA VIENNA 1

AC Milan mengetepikan aksi tidak konsisten dalam Serie A apabila menempah tiket dalam senarai 32 pasukan terakhir Liga Europa setelah membelasah Austria Vienna 5-1 di laman sendiri, awal pagi tadi.


Skuad kendalian Vincenzo Montella itu melayan kunjungan lawan dengan misi meraih tiga mata selepas tunduk 1-2 di tangan Napoli dalam aksi domestik, hujung minggu lalu.

Bagaimanapun, Milan terlebih dahulu dikejutkan dengan gol pembukaan pelawat ketika permainan memasuki minit ke-21 apabila hantaran jauh Raphael Holzhauser bijak dimanfaatkan Christoph Monschein yang menggelecek penjaga gol, Gianluigi Donnarumma, dan menolak bola masuk menjadikan kedudukan 1-0.

Tersentak dengan jaringan lawan, Milan memperkemaskan permainan dan hasilnya, Ricardo Rodriguez menyamakan kedudukan buat Rossoneri enam minit kemudian selepas menyempurnakan hantaran lintang Fabio Borini.

Andre Silva meletakkan Milan di depan pada minit ke-36 selepas menyambut bola sepakan percuma Rodriguez dan melepaskan rembatan kaki kiri menewaskan Patrick Pentz sebelum Patrick Cutrone menambah gol ketiga menerusi tandukan ketika babak pertama berbaki tiga minit.

Bersambung separuh masa kedua, skuad bimbingan Montella terus melancarkan asakan ke kubu pelawat dan jaringan keempat diraih pada minit ke-74 menerusi Silva.

Penyerang Portugal itu bijak mendada bola yang dilambungkan Hakan Calhanoglu sebelum memusingkan badan dan melepaskan rembatan leret ke penjuru kiri gol lawan.

Cutrone sekali lagi meletakkan nama dalam senarai penjaring pada minit terakhir perlawanan menerusi gerakan hantaran pendek dengan Luca Antonelli sebelum memperdayakan Pentz untuk mengesahkan kemenangan 5-1 di San Siro.

Milan kini mengungguli tangga teratas Kumpulan D dengan 11 mata, diikuti kelab Greece, AEK Athens, yang mengutip tujuh mata selepas seri 2-2 dengan pasukan tangga tercorot, Rijeka.