Pertahanan Chelsea, Fikayo Tomori, melengkapkan perpindahan secara pinjamannya ke AC Milan, demikian diumumkan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

Tomori akan menghabiskan baki saingan musim ini bersama pendahulu Serie A itu selepas kurang mendapat peluang mengisi kesebelasan utama Frank Lampard di Stamford Bridge.

Milan mempunyai pilihan untuk membeli pemain itu secara tetap dalam perpindahan di sekitar nilai £25 juta (RM138.2 juta) -- walaupun tidak didedahkan oleh kedua-dua kelab itu.

Pemain berusia 23 tahun itu menyertai skuad utama Chelsea musim lalu selepas menonjol dalam tempoh pinjamannya bersama Derby County sepanjang musim 2018-19 -- sewaktu Lampard bertindak sebagai pengurus kelab Liga Kejuaraan itu.

Dia kemudian melakukan penampilan pertamanya bersama skuad kebangsaan England ketika menentang Kosovo pada November 2019 dan selepas memerhatikan perkembangan pesat itu, pengurus Chelsea, Lampard, percaya Tomori mempunyai masa depan yang amat cerah.

"Fikayo seorang pemain yang sedang berkembang, pemain yang amat bagus," kata Lampard kepada wartawan menjelang pertemuan Chelsea dan Luton Town dalam pusingan keempat Piala FA.

"Saya dapat melihat dia sedang berkembang sewaktu di Derby, daripada sorang pemain berbakat kepada salah seorang pertahanan terbaik dalam Liga Kejuaraan dan kemudian England dan menjadi pemain utama Chelsea.

"Perjalanannya amat hebat. Dia akan menjadi pemain terbaik tetapi dia juga seorang pemain yang sedang berkembang."

Milan kini berkelebihan tiga mata di puncak Serie A dan akan menentang Atalanta awal pagi esok.

Tomori merupakan pemain ketiga menyertai mereka selepas pemain tengah, Soualiho Meite, dipinjam daripada Torino manakala penyerang berpengalaman, Mario Mandzukic, menyertai pasukan itu secara perpindahan percuma.