Stefano Pioli menggesa pemain-pemain Milan agar menandakan sambutan ulang tahun ke-120 penubuhan kelab itu dengan kemenangan ke atas Sassuolo malam ini.

Ramai bekas bintang Rossoneri akan hadir di San Siro sebagai penonton apabila pernah menempa sejarah mengungguli Serie A sebanyak 18 kali dan tujuh kali menawan Liga Juara-Juara (UCL) atau Piala Eropah.

Zaman kegemilangan mereka seakan-akan sudah sekian lama berlalu dan kini menghuni tangga ke-10 liga dengan pulangan 20 mata daripada 15 perlawanan.

Bagaimanapun, pasukan kendalian Pioli berkenaan mula mempamerkan rentak kemenangan, jadi pengurus berkenaan mengintai kemenangan perlawanan berturut-turut buat Milan sempena malam istimewa itu.

"Sambutan esok (malam ini) merupakan peringatan kepada barisan pemain bahawa ini bukan sebarangan kelab," kata Pioli dalam sidang akhbar.

"Perlawanan malam ini sangat penting agar kami dapat menghormati sejarah gemilang kelab ini. Kami mempunyai peluang untuk menghormatinya jika kami bermain dengan baik dan menang.

"Saya tidak berminat dengan apa-apa selepas esok kerana pada masa ini, saya hanya menumpukan kepada perlawanan ini.

"Kami akan menghadapi sebuah pasukan yang memperagakan permainan yang sangat baik, mereka memiliki pemain yang sangat berbakat, terutama di barisan hadapan. Jadi, kami perlu di tahap terbaik."

Pioli merupakan pengurus ketiga Milan sepanjang 2019 dan dilantik sejak Oktober lalu.

Mereka gagal meraih tiket UCL sejak menduduki tempat ketiga pada 2012-13, lantaran itu Pioli sedar bahawa dia sedang menghadapi cabaran untuk memulihkan Milan ke peringkat sebelumnya.

"Milan -- di peringkat Itali, Eropah dan dunia -- adalah kelab utama," katanya.

"Dalam jangka masa yang sangat lama, kami merupakan salah sebuah kelab terbaik di dunia dengan semangat untuk menang dan bermain dengan luar biasa. Kelab ini sangat teratur, Milan adalah satu contoh untuk diikuti buat semua orang.

"Perlawanan esok akan menjadi sangat getir pada hari penting, ramai pengurus dan pemain akan hadir.

"Saya berharap dapat melakukannya dengan baik tetapi saya tidak tahu bagaimana saya akan dikenang pada masa akan datang. Ada perkara yang saya ingin diingati tetapi ini bukan masa yang tepat."

Mattia Caldara, yang belum beraksi buat Milan dalam Serie A sejak menyertai pasukan itu pada 2018 akibat kecederaan lutut, turut dalam senarai skuad.