MILAN 1 ATALANTA 1

Pengurus Atalanta, Gian Piero Gasperini, meratapi kecederaan Kylian Mbappe dan berharap akan menghadapi skuad Paris Saint-Germain (PSG) yang cergas dalam kempen Liga Juara-Juara (UCL).


Harapan pelawat untuk mencabar gelaran Serie A hampir musnah berikutan keputusan seri 1-1 ketika menentang Milan di San Siro, awal pagi tadi, sementara jaguh Ligue 1 itu pula kembali ke aksi kompetitif buat pertama kalinya sejak Mac lalu dengan kejayaan 1-0 ke atas Saint-Etienne dalam perlawanan akhir Coupe de France.

Kemenangan mereka itu terpaksa dibayar dengan harga yang mahal selepas kecederaan yang menimpa pemenang Piala Dunia 2016 berkenaan yang tercedera berikutan terjahan Loic Perrin pada minit ke-31.

Mbappe kemudian kembali ke bangku simpanan dengan sebelah kaki dipasang pendakap dan tampak dalam keraguan besar menjelang pertembungan UCL dengan Atalanta di Portugal, bulan depan.

Namun, ketika diberitahu mengenai kecederaan pemain seteru itu, Gasperini meratapi kenyataan bahawa PSG mungkin kehilangan salah seorang tonggak terbaik mereka.

"Saya minta maaf, saya tidak tahu mengenainya," kata Gasperini kepada Sky Italia.
"Mbappe merupakan pemain yang hebat, saya harap ia tidak serius.

"Kami tidak mahu menang atas nasib malang yang menimpa orang lain.

"Sebenarnya, jika anda menang ketika berdepan pemain berwibawa sepertinya, keputusan yang diraih pasti lebih bermakna."

Keputusan seri awal pagi tadi itu menyaksikan Atalanta kini ketinggalan lima mata daripada pendahulu Serie A, Juventus, dan pasukan kendalian Maurizio Sarri itu berpeluang menjulang Scudetto yang kesembilan berturut-turut menerusi kemenangan ke atas Sampdoria, awal pagi Isnin ini, kerana satu mata sudah memadai buat mereka sekiranya Inter dan Lazio gagal memenangi perlawanan masing-masing.

Gasperini, bagaimanapun, memutuskan untuk mengambil pendekatan positif.

"Ini adalah perlawanan penting, bukan mudah untuk menghadapi Milan hari ini," tambahnya.

"Kami dibolosi selepas beberapa minit pertama, kemudian kami kembali seimbang dan beraksi dengan baik. Saya akan katakan ini adalah pungutan mata yang sangat baik."

Hakan Calhanoglu membuka tirai jaringan perlawanan pada minit ke-14 manakala Ruslan Malinovskiy gagal menyempurnakan sepakan penalti buat Atalanta sebelum gol Duvan Zapata mengikat kedudukan 1-1.