Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sedia mengambil-alih penganjuran Liga FAM musim depan andai diberikan tanggungjawab berkenaan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

MFL merupakan badan yang bertanggungjawab mentadbir penganjuran dua liga utama tempatan, iaitu Liga Super dan Liga Perdana, manakala Liga FAM dikendalikan sepenuhnya oleh FAM dengan pembabitan beberapa pasukan bertaraf semi-profesional.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam, menjelaskan bahawa terdapat cadangan agar pihaknya diberi tanggungjawab untuk mengendalikan Liga FAM, namun segalanya terpulang kepada kata putus oleh badan induk bola sepak negara itu.

"Sekretariat MFL ada berbincang bersama dan melihat jika diminta, adakah kami mampu daripada segi sumber dan tenaga. Industri bola sepak Malaysia harus berkembang, jadi tidak boleh wujud mana-mana bahagian bola sepak itu tidak disokong.

"MFL pasti bersedia jika diperlukan," ujar Kevin.

Sementara itu, Kevin turut menjelaskan pihaknya akan meneliti permasalahan yang menimpa pasukan yang beraksi dalam Liga FAM sehingga menyaksikan pengurangan daripada segi penyertaan.

Setakat ini, dilaporkan hanya enam pasukan yang sah akan mengambil bahagian bagi musim 2019.

Terbaru, PJ Rangers mengumumkan penarikan diri daripada saingan berkenaan kerana ingin memberi lebih tumpuan kepada pembangunan akar umbi.

"Kajian perlu dibuat untuk mengetahui bagaimana perkara ini boleh berlaku. Daripada satu masa mempunyai 18 pasukan sehingga (tinggal) enam pasukan.

"Penganjuran Liga FAM sebelum ini berada di bawah FAM dan kami tidak berpeluang untuk melihat apakah masalah yang dihadapi. Jika diminta, kami akan mengenal pasti masalah yang berlaku terlebih dahulu dan cuba mendapatkan penyelesaian," katanya.