Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mempertahankan tindakan memilih Perlis sebagai calon ke Liga Perdana 2019 walaupun pasukan itu tidak layak secara merit jika kedudukan dalam Piala FAM 2018 diambil kira.

Sebahagian peminat tidak bersetuju keputusan MFL menaikkan Perlis sambil diiringi UKM FC dan Terengganu FC II yang dikekalkan.

Musim ini menyaksikan Perlis menduduki tangga tercorot Kumpulan B, Piala FAM selepas Marcera dan Hanelang FC menarik diri.

Namun, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam, menjelaskan lembaga pengarah badan itu melihat Perlis ada keupayaan untuk menaikkan nilai Liga Malaysia melalui penjenamaan semula yang dilakukan.

"Kami mengambil kira daripada segi nilai liga, pasukan yang memiliki pengikut terbaik serta perancangan yang hampir sama dengan matlamat MFL," katanya.

Selain tiga pasukan terbabit, MFL turut menjelaskan tiada lagi pasukan berasas kaum apabila MISC-MIFA bersetuju menukar nama mereka kepada kelab berasas komuniti susulan dinaikkan ke Liga Super 2019.

"Untuk menjadikan semua pasukan sebagai sebahagian daripada komuniti masing-masing, semua pasukan perlu relevan untuk membina akar dan landasan bagi terus maju ke depan," tambah Kevin.