Pandemik COVID-19 ternyata mengganggu kelancaran penganjuran Liga Malaysia (Liga-M), termasuk berisiko kehilangan penaja, namun rundingan demi rundingan yang diusahakan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memastikan badan penganjur itu dapat mengekalkannya bagi musim ini.

Perkara itu disahkan Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, dalam satu temu bual Nadi Arena hari ini.

"Alhamdullilah, setakat ini penaja yang bersama MFL masih lagi bertahan sebab mereka yakin dan percaya mereka juga dapat menyumbang kepada agenda nasional.

"Di akhirnya nanti, semua yang dilakukan ini bertujuan untuk melahirkan bola sepak terbaik dan pemain terbaik," katanya.

Dalam masa sama, Ab Ghani turut menegaskan keperluan untuk setiap pasukan mematuhi fasa-fasa yang telah ditetapkan oleh MFL bagi mengelakkan berlakunya kecederaan kepada pemain.

Jika berlaku kecederaan yang berpunca daripada kegagalan pasukan mematuhi arahan itu, ia menjadi tanggungjawab pasukan berkenaan dan pihak MFL tidak seharusnya dipersalahkan.

"Saya rasa pemain yang tidak turun dalam latihan fasa satu akan mengambil masa tertentu untuk membiasakan diri dengan latihan kecergasan fizikal dan juga latihan taktikal

"Apabila MFL mengeluarkan kenyataan membolehkan perlawanan persahabatan dilakukan, di situ jurulatih pasukan akan nampak pemain mereka cergas atau tidak, sekaligus membetulkan kelemahan yang ada," tambahnya.