Seiring dengan hasrat untuk menjamin tahap profesional industri bola sepak tempatan, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) kini menjalin kerjasama dengan LaLiga.

Penganjur Liga Malaysia, MFL, berhasrat untuk membantu membangunkan pengajian berkaitan sukan bagi menjamin tahap profesional melibatkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bersama kelab Liga Malaysia menerusi kursus pemasaran yang disediakan.

Justeru, satu perjanjian persefahaman telah dibuat di mana ia turut dihadiri Ahli Lembaga Pengarah MFL, Mohd Joehari Ayub, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Kevin Ramalingam, dan Pengarah LaLiga Business School, Jose Moya.

"Kami sangat gembira apabila pengajian dalam tempoh singkat ini mungkin membolehkan peserta pergi ke Madrid untuk melengkapkan ijazah dalam bidang ini," kata Kevin.

Usaha itu diadakan demi menjamin tahap profesional industri bola sepak negara bermula daripada organisasi awal sehingga ke peringkat tertinggi.

"Kami mahu menjelaskan bagaimana kami mengendalikan serta menguruskan salah satu liga terpenting dalam dunia bola sepak. Perkara pertama yang ingin kami bangunkan bersama MFL adalah kursus pemasaran sukan," ujar Moya.