MFL jelaskan punca hak penyiaran tidak diagihkan

Oleh Staff Writer 14 Disember 2019 3778
MFL jelaskan punca hak penyiaran tidak diagihkan
Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan ketiadaan hak penyiaran Liga Malaysia musim ini menyaksikan baki agihan siaran tidak dapat diagihkan kepada rakan kongsi badan induk itu.

Situasi itu menyaksikan pasukan yang beraksi dalam Liga Super dan Liga Perdana terpaksa berputih mata selepas penantian hampir empat bulan untuk mendapatkan baki agihan gagal dilangsaikan. 

Pengerusi MFL, Datuk Hamidin Mohd Amin, berkata perkembangan terbabit telah dijelaskan secara terperinci kepada semua rakan kongsi dalam mesyuarat agung luar biasa hari ini.

Bagaimanapun, sebelum ini MFL sudah pun mengagihkan pendapatan sebanyak RM1.5 juta kepada pasukan dalam Liga Super dan RM500,000 kepada pasukan Liga Perdana, Julai lalu. 

"Liga Malaysia musim 2019 berjalan tanpa penaja utama hak penyiaran. Meskipun tanpa penajaan ini, MFL tetap menguruskan operasi Liga Malaysia dengan baik apabila semua pertandingan, iaitu Liga Super, Liga Perdana, Piala FA, Piala Malaysia dan Piala Cabaran berjaya dianjurkan.

"MFL tetap memastikan agihan hak pendapatan kepada pasukan pada 15 Julai lalu dan MFL percaya bahawa mereka (pasukan) memahami situasi yang berlaku yang mana tiada penaja utama hak penyiaran pada musim 2019.

"Jika pendapatan untuk diedarkan kepada pasukan adalah kurang daripada RM18 juta, maka jumlah yang akan diedarkan kepada pasukan akan ditentukan oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL," katanya.

Selain itu, 24 rakan kongsi juga juga bersetuju dengan pindaan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) tidak lagi berada dalam Ahli Lembaga Pengarah badan itu bagi mengalihkan fokus kepada tugas mengendalikan operasi MFL.

"Sebelum ini, di dalam perlembagaan kami, Artikel 154 menyatakan bahawa CEO adalah Ahli Lembaga Pengarah. Rakan kongsi telah bersetuju untuk meminda bahawa CEO bukan lagi Ahli Lembaga Pengarah."

Sementara itu, Hamidin turut menjelaskan situasi jadual perlawanan Liga Malaysia yang dikhabarkan padat akan berterusan menjelang musim baru disebabkan sebab-sebab tertentu. 

Ia antara keputusan terbaik yang boleh dilakukan atas penglibatan skuad kebangsaan Malaysia dalam kalendar FIFA bermula penghujung Oktober depan.

Sebarang perubahan akan terjadi jika berlakunya bencana seperti jerebu atau perkara yang memaksa perlawanan ditunda. 

"Semua perlu faham bahawa kalendar di sini melibatkan beberapa acara seperti Hari Raya Aidilfitri, ditambah dengan saingan Piala AFF yang perlu dihadapi skuad kebangsaan tahun depan. Perkara ini telah dibincang dengan pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe," ujar Hamidin.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen