Tidak mustahil Liga Malaysia (Liga-M) akan bersambung Ogos depan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan.

Gesaan itu ditujukan buat pasukan pasukan yang sedang tidur nyenyak sambil bergoyang kaki kerana masih belum mendapatkan kelulusan untuk kembali ke padang latihan.

Pendekatan majoriti pasukan, yang mengambil masa terlalu lama untuk kembali berlatih, mula menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan peminat bola sepak tanah air.

Seperti tiada kemahuan untuk meneruskan saingan, sikap yang ditunjukkan pasukan berkenaan sama sekali tidak seiring dengan usaha badan penganjur, MFL.

"Ada pasukan yang mempunyai perancangan tersendiri memandangkan MFL menjangkakan liga akan diteruskan pada September depan," katanya kepada Nadi Arena.

"Tetapi mereka harus ingat bahawa mereka perlu bersedia kerana ada kemungkinan liga akan dibenarkan bermula lebih awal.

"Kami tidak mahu ada pasukan yang melaporkan mereka tidak cukup waktu latihan dan sebagainya, padahal ia telah dibenarkan lebih awal," katanya.

Setakat ini, 13 pasukan Liga Super dan Liga Perdana masih tersekat dalam proses mendapatkan kelulusan untuk kembali menjalani latihan seawal bulan ini.

Melihatnya sebagai satu situasi yang membimbangkan, Ab Ghani tidak mahu ada pasukan mengambil kesempatan dengan kelonggaran MFL, yang tidak mewajibkan setiap pasukan melalui latihan fasa 1 dan 2 selepas ia dibekukan berikutan perintah kawalan pergerakan (PKP) sejak Mac lalu.

"Kami menamakannya sebagai latihan fasa 1, di mana salah satu daripadanya, tidak boleh ada sebarang kontak fizikal.

"Kerana kami akan memohon kepada kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk memasukkan fasa 2, iaitu latihan seperti biasa dengan SOP (prosedur operasi standard) tertentu buat pemain dan pegawai.

"Buat masa ini, kami tidak meletakkan tarikh tutup untuk latihan fasa 1 kerana beranggapan pemain sudah bersedia untuk memulakan latihan.

"Saya percaya pada penghujung bulan ini, semua pasukan akan memulakan latihan," tambahnya.

Terdahulu, MFL menetapkan September depan sebagai tempoh untuk menyambung perjalanan kalendar Liga-M selepas permohonan yang dikemukakan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) ditolak.