MFL gariskan empat perkara wajib dipatuhi pasukan sebelum sambung latihan

Oleh Bernama 11 Jun 2020 64
MFL gariskan empat perkara wajib dipatuhi pasukan sebelum sambung latihan
Kesemua pasukan Liga Super dan Liga Perdana yang akan memulakan sesi latihan bermula Isnin ini diwajibkan mematuhi empat perkara penting dalam pematuhan prosedur standard operasi (SOP).

Dalam kenyataannya hari ini, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) berkata dua perkara utama ialah setiap pasukan perlu menyerahkan ujian swab yang telah disahkan oleh doktor pasukan kepada MFL selain melantik seorang pegawai penyelaras untuk memantau pematuhan SOP di peringkat pasukan.

Dua perkara seterusnya ialah pasukan wajib menamakan pusat latihan yang diadakan di kawasan tertutup dan venue latihan perlu didaftarkan melalui pautan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (MITI) notification.miti.gov.my.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, menegaskan empat aspek itu amat penting bagi memastikan tiada pelanggaran SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan  (KKM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

"Saya mengharapkan kerjasama daripada semua pasukan dalam soal ini agar dapat memberikan kelancaran selepas mereka diberi kebenaran mengadakan latihan, namun dalam waktu yang sama kita dapat membendung wabak COVID-19 ini," katanya dipetik oleh kenyataan itu.

Aktiviti bola sepak profesional di Malaysia bakal membuat kemunculan semula selepas ditangguhkan bermula 16 Mac lalu susulan penularan pandemik COVID-19.

KBS Isnin lalu memberi kebenaran untuk semua sukan berpasukan dan sukan tempur memulakan latihan tanpa sentuhan badan dengan melakukan penjarakan sosial tiga hingga lima meter bermula 15 Jun ini.

Sementara itu, dalam kenyataan sama MFL berharap semua pasukan dapat mematuhi sepenuhnya pelaksanakan SOP dalam sesi latihan Fasa 1 sebelum latihan secara kontak dalam Fasa 2 dilaksanakan.

"Jika semua pasukan mampu penuhi setiap SOP yang digariskan pada sesi latihan Fasa 1 ini dan kes terbaharu COVID-19 terus mencatatkan jumlah yang rendah, kita mungkin dapat melakukan latihan secara kontak bagi sesi Fasa 2.

"Sebab itu saya mengharapkan kejujuran daripada semua pasukan dalam pematuhan SOP ini bagi memastikan tiada halangan untuk semua pasukan mengadakan latihan," katanya.

Saingan Liga Super dan Liga Perdana yang ditangguhkan 16 Mac lalu dijangka bersambung semula September ini.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen