Pemain Paris Saint-Germain (PSG), Thomas Meunier, mendedahkan bahawa dia telah menolak tawaran untuk berhijrah ke Chelsea pada hari terakhir jendela perpindahan, Ogos lalu.

Pertahanan Belgium itu berdepan saingan daripada Serge Aurier ketika mula tiba di Parc des Princes dan walaupun pemain Ivory Coast itu telah ke Tottenham Hotspur, Meunier kini perlu berentap dengan Dani Alves untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama.

Selepas Meunier menolak tawaran untuk ke Stamford Bridge, pengurus Chelsea, Antonio Conte, yang mencari pemain gantian buat Victor Moses akhirnya mendapatkan Davide Zappacosta dari Torino.

Biarpun ia dilihat sebagai kesempatan untuknya beraksi bersama rakan sepasukan dalam skuad Belgium seperti Michy Batshuayi, Eden Hazard dan Thibaut Courtois, Meunier tetap mahu kekal bersama PSG dan berjuang mendapatkan kepercayaan ketua jurulatih, Unai Emery.

"Saya tidak tahu apa yang perlu difikirkan. Adakah saya akan kekal di bangku simpanan?" kata Meunier.

"Chelsea hampir menjadi destinasi saya pada hari terakhir perpindahan tetapi saya mahu kekal di sini.

"Saya gembira bersama PSG dan tidak mahu berpindah, mahu menjadi pilihan utama mulai sekarang sehingga penghujung musim.

"Secara profesional, tiada yang lebih baik buat saya ketika ini. Saya bebas daripada kecederaan dan mewakili pasukan terbaik dunia," tambahnya.