Pemain antarabangsa Belgium, Thomas Meunier, menandatangani perjanjian selama empat tahun bersama Borussia Dortmund menerusi perpindahan percuma daripada Paris Saint-Germain (PSG).

Pertahanan berusia 28 tahun itu telah menghabiskan empat musim di ibu negara Perancis berkenaan dengan memenangi tiga gelaran Ligue 1 serta sepasang trofi Coupe de la Ligue dan Coupe de France.

Namun, dia merupakan salah seorang pemain yang memutuskan untuk meninggalkan PSG sebaik kontraknya berakhir hujung bulan ini di samping Edinson Cavani dan Thiago Silva.

"Borussia Dortmund beraksi persis bola sepak yang saya dambakan: menarik, asli dan semula jadi," kata bekas pertahanan Club Brugge itu di laman sesawang kelab.

"BVB terkenal dengan peminat mereka yang bersemangat dan suasana ketika perlawanan Liga Juara-Juara (UCL) menentang PSG di Signal Iduna Park benar-benar mempengaruhi keputusan saya.

"Saya bercita-cita tinggi dan seperti Bruges dan PSG, saya ingin memenangi gelaran dengan Dortmund."

Pertahanan tinggi lampai itu telah tampil sebanyak 40 kali bersama Belgium, dan dijangka mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh pemain pinjaman Real Madrid, Achraf Hakimi, sejurus tempoh pinjaman dua musimnya tamat sebaik saingan Bundesliga berakhir hujung minggu ini.

Gergasi Jerman itu mahu mengekalkan Hakimi untuk kempen ketiga berturut-turut tetapi kelab lain juga memburu khidmat pemain berusia 21 tahun berkenaan walaupun dia mungkin tidak jadi kekal bersama kelab induknya.

Menurut Pengarah Sukan BVB, Michael Zorc: "Thomas Meunier merupakan pemain yang telah menunjukkan kualitinya di peringkat tertinggi dalam UCL dan bersama pasukan kebangsaan dalam jangka masa yang panjang dan akan sangat menguntungkan kami menerusi pengalamannya."