Pertahanan Paris Saint-Germain (PSG), Thomas Meunier, mendedahkan dirinya bersedia untuk meninggalkan gergasi Paris itu pada penghujung musim ini selepas bergelut untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama.

Ketibaan Dani Alves ke dalam skuad bimbingan Unai Emery itu membuatkan Meunier muncul sebagai pilihan kedua di Parc Des Princes sehingga menyebabkannya hanya beraksi 16 kali sebagai kesebelasan utama.

Aksi pada Rabu lalu juga menyaksikan pertahanan Belgium itu gagal mendapat perhatian Emery, membuatkannya begitu kecewa.

"Ketika ini, saya tidak berhubung dengan pihak pengurusan dan juga jurulatih.

"Saya rasa kami harus menunggu sehingga akhir musim ini untuk memuktamadkan beberapa perkara dan segala perancangan pasukan buat saya akan diketahui.

"Saya bukan lagi pemain yang berusia 18 tahun. Kini, saya perlu memastikan bahawa peluang bermain sentiasa ada kerana ia sangat penting," kata Meunier.

Pemain Belgium berusia 27 tahun itu sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan ke kelab Inggeris, Manchester United.