Lionel Messi percaya bintang berbakat Barcelona, Ousmane Dembele, adalah seorang pemain hebat yang mampu bergelar salah seorang pemain terbaik dunia.

Dembele, 21, telah menjaringkan tujuh gol dalam musim kedua di pentas LaLiga, termasuk tiga jaringan dalam empat penampilan sebelum tahun baru.

Prestasi cemerlang itu memadamkan spekulasi tentang masa depannya di Barca walaupun dia sebelum ini sering dikaitkan dengan beberapa masalah disiplin.

Messi percaya pemenang Piala Dunia itu berpotensi untuk terus berkembang dan yakin pihak Barca komited dalam membantu perkembangannya.

"Di atas padang, Dembele adalah satu fenomena dan ia bergantung kepadanya untuk menentukan masa depan," kata Messi.

"Dia mempunyai semua peluang dalam dunia untuk mendapatkan apa sahaja. Dia mampu bergelar antara yang terbaik.

"Selain itu, dia masih muda dan cuba menyesuaikan diri dengan bandar serta kelab ini. Lebih bagus jika anda kurang bercakap tentangnya. Dia perlu dibiarkan untuk menjadi lebih tenang.

"Dembele telah menyedari kesilapannya dan kami akan membantunya kembali fokus dalam bola sepak."

Dembele kini dijangka akan kekal bersama Barca untuk tempoh yang lama dan bakal disertai oleh bintang muda Ajax, Frenkie De Jong dan Matthijs De Ligt.

Pemain tengah, De Jong, dikaitkan dengan perpindahan ke juara bertahan LaLiga itu hujung musim ini sambil De Ligt dilihat sebagai tambahan menarik bagi proses rombakan pertahanan Barca.

Messi berasa kedua-dua pemain itu sesuai untuk menyertai pasukan bimbingan Ernesto Valverde itu.

"Mereka hadir daripada sekolah yang hampir sama dengan kami dan bekerja dengan cara yang sama. Mereka juga bermain serupa kami dengan bola," tambah Messi.

"Kedua-duanya adalah pemain muda dengan masa depan yang cerah. Mereka adalah pemain yang sangat bagus."