Pemergian Lionel Messi daripada Barcelona akan memberikan tamparan besar buat LaLiga, kata bekas presiden Real Madrid, Ramon Calderon.

Pemenang enam kali anugerah Ballon d'Or itu dikatakan telah memaklumkan kepada Barca -- satu-satunya kelab yang disertainya dalam karier profesional -- bahawa dia berhasrat untuk meninggalkan Camp Nou berikutan kempen hambar musim ini.

Pasukan gergasi Catalan itu gagal meraih sebarang trofi dan diaibkan dengan kekalahan 2-8 ketika disingkirkan oleh Bayern Munich dalam suku akhir Liga Juara-Juara Eropah.

Ia menyaksikan pemain sensasi dengan jersi nombor 10 itu berkemungkinan akan meninggalkan LaLiga, hanya dua tahun selepas seteru ketatnya, Cristiano Ronaldo, meninggalkan Madrid untuk menyertai pasukan gergasi Serie A, Juventus.

Calderon berkata kepada Stats Perform News: "Ia pasti amat menyakitkan buat imej, kualiti dan persembahan (buat LaLiga jika Messi meninggalkannya).

"Kita amat bertuah kerana mempunyai Messi dan Cristiano Ronaldo bermain dalam liga ini sepanjang 10 tahun lalu, dua pemain terbaik dunia setakat ini.

"Mereka tidak akan berada di sini lagi, tiada seorang pun daripada mereka akan bersama kita. Ia amat menyakitkan buat liga ini dan penyokongnya," katanya.

Calderon mendedahkan bahawa dia terkejut dengan permintaan Messi itu tetapi mengakui kegagalan Barca sejak akhir-akhir ini menjadikan situasi itu amat mudah untuk difahami.

"Apa yang terjadi baru-baru ini sudah pasti membuatkan Messi kecewa. Ia waktu yang janggal kerana dia seorang pemenang, begitu juga Barcelona.

"Kekalahan kepada Bayern benar-benar melukakannya, itu sudah pasti.

"Ia membuatkan Messi mempertimbangkan mengenai masa depannya, terutama kerana ada saingan Piala Dunia dalam masa dua tahun lagi.

"Saya pasti dia sedang menyasarkan untuk berada di sana dan memenangi piala itu.

"Jadi, dia mungkin sudah memikirkan masa depannya di Barcelona bukanlah yang terbaik untuk sasarannya dan dia mengambil keputusan itu.

"Ia agak mengejutkan buat saya kerana saya fikir dia sudah memilih untuk menamatkan kariernya di Barcelona.

"Tetapi ia kelihatan bahawa apa yang terjadi baru-baru ini telah mempengaruhinya untuk meninggalkan kelab itu," katanya lagi.