Messi tidak ternilai tapi tiada pasukan akan bayar €700 juta -- Calderon

Oleh Muzaffar Musa 27 Ogos 2020 17528
Messi tidak ternilai tapi tiada pasukan akan bayar €700 juta -- Calderon
Ramon Calderon menjangkakan Barcelona akan bersetuju untuk mengurangkan yuran perpindahan "pemain yang tidak ternilai" dan kapten pasukan itu, Lionel Messi.

Messi meminta untuk meninggalkan Barca -- yang merupakan satu-satunya kelab yang disertai sepanjang karier profesionalnya -- selepas menghadapi musim yang sukar di Camp Nou, di mana mereka gagal memenangi sebarang trofi yang mencetuskan ketegangan di antara lembaga pengarah pasukan itu dan pemain berkenaan.

Pemain berusia 33 tahun itu mempunyai klausa dalam kontraknya yang membenarkannya untuk membatalkan kesepakatan itu dan meninggalkan kelab berkenaan secara percuma pada penghujung musim ini.

Terdapat laporan mengatakan bahawa Messi mahu mengaktifkan klausa itu tetapi Barca dilaporkan percaya bahawa pilihan itu sudah tamat pada tahun ini biarpun musim 2019-20 telah dilanjutkan lebih lama berikutan pandemik koronavirus.

Dengan itu, pasukan lain perlu membayar €700 juta (RM3.45 bilion) untuk melepaskan Messi daripada kontraknya, satu nilai yang dilihat melangkaui kemampuan mana-mana pasukan yang mahu mendapatkanya berdasarkan undang-undang Financial Fair Play dan impak daripada krisis global itu.

Tetapi Calderon, yang merupakan bekas presiden Real Madrid, percaya Josep Maria Bartomeu masih boleh berkompromi.

"Saya agak yakin mereka akan menemui kesepakatan yang mesra," kata Calderon kepada Stats Perform News.

"Mereka sudah 20 tahun bersama.

"Messi sudah memberikan yang terbaik buat Barcelona dan Barcelona telah memberikan segala-galanya buat Messi.

"Mereka sudah memenangi banyak gelaran bersama-sama. Dia telah memenangi enam Baloon d'Or.

"Saya yakin mereka tidak akan berlawan secara undang-undang dan mereka akan menyelesaikannya dengan cara yang mesra.

"Itulah yang saya akan cuba lakukan dan saya pasti Bartomeu (sebagai presiden Barca) akan melakukan perkara yang sama.

"Saya mengenalinya. Dia seorang yang tenang dan dia akan melihat untuk mencari jalan terbaik buat kedua-dua pihak.

"Tidak perlu untuk berlawan secara perundangan atau apa-apa kontroversi," katanya.
 
Pakej gaji lumayan Messi turut akan menjadi penghalang perpindahannya tetapi Calderon percaya ia akan membawa sesuatu yang berbaloi -- walaupun ia memerlukan Barca untuk mengurangkan harga pemain itu.

Juventus hanya membayar €100 juta (RM493.4 juta) untuk mendapatkan seteru Messi, Cristiano Ronaldo, dua tahun lalu yang dianggap Calderon sebagai satu tawaran yang relatif.

"Apa yang pasti, saya akan menjadi sangat teruja jika saya adalah presiden kelab yang akan menandatangani Messi. Benar dia sudah berusia 33 tahun tetapi saya yakin dia masih mempunyai tiga hingga empat tahun untuk beraksi di tahap terbaik.

"Bercakap mengenai perkara itu, bagaimana anda boleh membayar untuk mendapatkannya? 

"Real Madrid memberikan hadiah dengan menjual Cristiano Ronaldo pada harga €100 juta kerana dia menunjukkan bahawa dia masih sangat berharga dan akan bertahan selama beberapa tahun lagi.

"Saya tidak tahu  -- Ia (yuran itu) merupakan sesuatu yang perlu diperbetulkan. Saya pasti tiada siapa yang akan membayar €700 juta tetapi itu bukan masalahnya.

"Saya yakin Messi akan mencuba untuk mendapatkan apa-apa yuran buat Barcelona. Berapa juta? Sejujurnya saya tidak tahu.

"Kelab yang menandatanganinya amat bertuah tetapi mereka perlu membayar gaji yang besar.

"Dia layak untuk menerimanya. Nilai yang akan dibawanya ke dalam pasukan memang tidak ternilai," katanya lagi.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen