Lionel Messi berkata dia tidak tahu jika Barcelona melakukan segalanya untuk membawa semula Neymar ke Camp Nou tatkala dia cuba menyalahkan gergasi Sepanyol itu.

Neymar mahu meninggalkan Paris Saint-Germain (PSG) sebelum tamat jendela perpindahan dan dilaporkan terdesak untuk pulang ke Barca walaupun proses itu gagal disempurnakan.

Ia berlaku hanya dua tahun selepas Neymar meninggalkan Barca untuk menyertai gergasi Ligue 1 itu dengan yuran termahal dunia, EUR222 juta (RM1.02 bilion).

Kapten Barca, Messi, ditanya mengenai usaha itu dan dia memberitahu SPORT: "Saya tidak tahu jika Barca berusaha keras untuk membawanya pulang.

"Namun, memang benar bahawa tidak mudah berurusan dengan PSG."

"Saya gembira untuk melihat kepulangan Neymar," tambahnya.

"Dia merupakan salah seorang pemain terbaik dunia dan daripada segi tajaan, kami mampu menjadikan kelab lebih stabil."

Ditanya sama ada dia dan rakan sepasukannya meminta Barca untuk mendapatkan Neymar semula, dia berkata: "Dalam bilik persalinan, kami tidak pernah meminta untuk mendapatkan Neymar.

"Kami berikan pendapat tetapi berdasarkan apa yang diperkatakan, saya tidak memberi arahan."

Neymar -- yang masih memiliki baki kontrak tiga tahun bersama PSG -- masih belum tampil buat pasukan kendalian Thomas Tuchel itu, musim ini.

Bagaimanapun, pemain berusia 27 tahun itu menyarung jersi Brazil buat pertama kali musim ini ketika aksi antarabangsa.

Dia menjaringkan gol dalam pertemuan dengan Colombia yang berakhir 2-2, minggu lalu sambil masuk selaku pemain gantian ketika tewas 1-0 di tangan Peru di Los Angeles.

PSG bakal menyambung aksi Ligue 1 menentang Strasbourg, Sabtu ini sambil Messi dan rakan sepasukannya melayan kunjungan Valencia pada hari yang sama.