Messi terpaksa kekal di Barca kerana saranan buruk bapa -- Hugo Sanchez

Oleh Muzaffar Musa 6 September 2020 7939
Messi terpaksa kekal di Barca kerana saranan buruk bapa -- Hugo Sanchez
Lionel Messi tiada pilihan selain menarik balik keputusannya untuk meninggalkan Barcelona kerana saranan yang buruk daripada bapa dan ejennya, Jorge, kata bekas pemain Real Madrid, Hugo Sanchez.

Pemenang enam kali Anugerah Ballon d'Or itu menggemparkan dunia bola sepak apabila memaklumkan kepada Barca mengenai keinginannya untuk meninggalkan pasukan itu.

Bagaimanapun, LaLiga menafikan dakwaan Messi bahawa dia boleh dibebaskan secara perpindahan percuma berdasarkan satu klausa dalam kontraknya dan bermakna, pasukan yang berkeinginan untuk mendapatkan khidmatnya perlu berbincang dengan Barca atau membayar klausa pelepasan bernilai €700 juta (RM3.43 bilion).

Messi mengumumkan kelmarin bahawa dia akan kekal di Camp Nou kerana keperluan kewangan yang diminta lembaga pengarah Barca menjadikan perpindahan itu sesuatu yang mustahil.

Susulan itu, ikon bola sepak Mexico, Sanchez, yang kerap mengkritik Messi sepanjang saga itu, berasakan kegagalan pemain berusia 33 tahun itu untuk berpindah berpunca daripada kegagalan wakilnya.

"Burofax yang tidak kena masa itu menguatkan imej presiden Barcelona dan memberikannya masa untuk dia melemahkan keputusan Messi," katanya kepada ESPN.

"Messi tiada pilihan selain kekal di Barcelona kerana saranan yang buruk daripada bapanya dan firma guaman kerana mereka sepatutnya tidak menghantar burofax itu. Ia menyebabkan imejnya menjadi lemah dalam pasukan itu.

"Secara kebetulan, Messi menggunakan peguam yang pernah bekerja dengan Barcelona tetapi disebabkan konflik kepentingan, kelab Catalan itu mengubah strategi.
 
"Jika Messi dan bapanya sudah membuat keputusan untuk meninggalkan Barcelona, mereka tidak perlu menunggu terlalu lama.

"Tetapi sebelum penamat terma itu dalam kontraknya, mereka perlu memberitahu Barca bahawa mereka mahu meninggalkan kelab itu pada penghujung musim secara percuma tanpa membayar sebarang pampasan.

"Jika mereka mahu merancang, ia sepatutnya seperti itu," katanya.

Sanchez menambah: "Masalah kedua Messi adalah mereka menghantar burofax tanpa mempunyai jaminan ada pasukan yang sanggup membayar  €700 juta, di mana disebabkan pandemik (koronavirus), tiada pasukan di dunia yang dapat melaburkan jumlah sebanyak itu."

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen