Bintang Barcelona, Lionel Messi, faham dengan tekanan tinggi yang dihadapi Zinedine Zidane di Real Madrid tetapi menyatakan pemain dan pengurus hebat perlu sentiasa bersedia dengan situasi sebegitu.

Messi akan menjadi perhatian utama apabila pasukannya, Barca, melayan kunjungan seteru utama, Real, dalam aksi Clasico di Camp Nou awal pagi esok.

Perbezaan gol memisahkan kedua-dua pasukan itu dan kemenangan di tempat lawan bakal meletakkan anak buah Zidane itu di landasan terbaik untuk memenangi LaLiga buat kali pertama sejak musim 2016-17.

Menjarakkan kedudukan tiga mata di atas akan menambah keyakinan pengendali dari Perancis itu selepas menghadapi kesukaran sejak mengendalikan Los Blancos buat kali kedua.

Kapten Barca, Messi, mendakwa sebarang kritikan yang dilemparkan kepada Zidane adalah bukti tekanan tinggi yang dihadapi apabila berada di tahap yang bagus.

"Ia mengejutkan tetapi mereka yang mempunyai pengalaman, terutama bersama kelab besar, tahu ia adalah normal," kata kapten Argentina itu.

"Orang ramai pantas melupakan kejayaan silam dan mengharapkan anda melakukannya setiap hari.

"Sudah tentu Zidane tahu bahawa tiga trofi Liga Juara-Juara yang diraih sebelum ini tidak memberi sebarang makna dan peminat mengharapkan kejayaan itu berulang.

"Barisan pemain dan jurulatih daripada pasukan hebat tahu mereka perlu melalui situasi sebegitu."

Barca tidak tewas dalam enam pertemuan LaLiga menentang Real dan Messi menjangkakan bakal berdepan lawan yang berwaspada dalam aksi pertama Clasico musim ini.

"Apabila kami beraksi di Santiago Bernabeu, lebih banyak ruang diwujudkan," katanya.

"Di Camp Nou, mereka menampilkan corak berbeza, lebih banyak bertahan dan sentiasa rapat sebelum bersedia untuk mencipta serangan balas kerana mereka mempunyai barisan depan yang pantas.

"Di Bernabeu, kami beraksi secara seimbang dalam 90 minit. Dalam situasi ini, perlawanan menjadi semakin padat dan rumit."