Lionel Messi diangkat sebagai pemain terbaik pada eranya tetapi legenda Brazil dan bekas rakan sepasukannya di Barcelona, Ronaldinho, tidak fikir dia merupakan pemain terbaik sepanjang zaman.

Messi memenangi gelaran Ballon d'Or keenamnya awal bulan ini, satu gelaran melebihi Cristiano Ronaldo.

Walaupun bintang Juventus itu sedang menunjukkan tanda-tanda penurunan prestasi sejak tahun lalu atau pada usia 34 tahun, namun Messi -- yang dua tahun lebih muda -- terus menyinar dalam LaLiga bersama Barca.

Walaupun terlepas perlawanan pada aksi awal musim ini ekoran kecederaan, Messi sudah mengetuai carta jaringan dengan 12 gol daripada hanya sembilan perlawanan, dengan Karim Benzema pula merakamkan 11 gol daripada 14 perlawanan.

Prestasi ketua pasukan Argentina berkenaan sangat mengagumkan sepanjang enam minggu lalu, menjaringkan 13 kali dalam 10 perlawanan buat kelab dan negara, dan yang terbaru melakar hatrik dalam kemenangan 5-2 Barca ke atas Real Mallorca.

Begitupun, Ronaldinho, yang menghabiskan tempoh terbaik kariernya selama empat tahun sebagai rakan sepasukan Messi, meragui cadangan bahawa penggempur itu merupakan pemain terbaik sepanjang zaman dalam sukan itu.

Bercakap dalam satu majlis amal di Mexico, Ronaldinho berkata: "Saya gembira dengan Messi kerana dia adalah seorang kawan, selain itu dia merupakan ketua pasukan kepada Barcelona.

"Saya tidak suka membuat perbandingan kerana adalah sukar untuk mengenal pasti siapakah yang terbaik dalam sejarah. Terdapat Diego Maradona, Pele, Ronaldo.

"Saya tidak boleh mengatakan bahawa Messi adalah yang terbaik, tetapi dia adalah yang terbaik dalam generasinya."